Rumah terbakar ketika hendak ikuti kelas online

Keadaan rumah Alia di Kampung Kalipuon, Pitas, Sabah yang musnah dalam kebakaran pada Rabu. Gambar kecil: Nur Alia Fitri
Keadaan rumah Alia di Kampung Kalipuon, Pitas, Sabah yang musnah dalam kebakaran pada Rabu. Gambar kecil: Nur Alia Fitri
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pelajar Diploma Perakaunan Kolej Profesional Mara Bandar Penawar, Kota Tinggi, Nur Alia Fitri Bahuddin, 19, tidak menyangka rumahnya di Kampung Kalipuon, Pitas, Sabah terbakar dalam kejadian pada Rabu.

Nur Alia yang tidak dapat meneruskan pengajian di Johor kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBB) akibat pandemik Covid-19 kini belajar secara dalam talian dari Sabah.

Gadis ini berkongsi kisah rumahnya hangus dalam kejadian itu dan terpaksa menyelamatkan ibu yang juga orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan, Juliet Christine Moiji, 45, serta bapanya, Bahuddin Bakhi, 58.

"Api marak begitu cepat, mujur saya terdengar teriakan bapa saudara yang meminta saya segera keluar dari rumah. Saya terperanjat apabila bapa saudara menjerit 'api!'. Sebaik keluar, saya nampak api sudah marak di bahagian dapur," kata Nur Alia ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Nur Alia berkata, ketika kejadian kira-kira jam 7.30 pagi, dia sedang bersiap-siap mahu memulakan kelas secara dalam talian.

Menurutnya. jirannya kemudian datang membantu membawa ibu bapanya ke sebuah dewan di kawasan penempatan mereka.

Api yang marak menyebabkan Alia tidak dapat menyelamatkan barang-barang miliknya.
Api yang marak menyebabkan Alia tidak dapat menyelamatkan barang-barang miliknya.

"Kebakaran berlaku di depan mata saya, syukur jiran-jiran datang membantu. Sememangnya insiden ini tidak dijangka lebih-lebih ketika Ramadan.

Artikel Berkaitan:

"Saya dan keluarga reda dan berterima kasih atas keprihatinan pelbagai pihak membantu kami sekeluarga," katanya.

Nur Alia berkata, banyak barang rumahnya tidak dapat diselamatkan kerana api marak dengan begitu cepat tetapi dia bersyukur kerana ibu bapanya tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Ayah sebelum ini mencari rezeki sebagai buskers di pekan Tuaran tetapi sepanjang PKP, ayah hanya bergantung kepada bantuan kebajikan," katanya.

Tambah Nur Alia, kehidupan lebih sukar apabila adiknya, Mohd Aidil Azmi, 12, kini menderita penyakit buah pinggang, manakala abangnya Mohd Ridzuan, 22, sedang mengikuti pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Orang ramai yang mahu membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun 1005-202974-1006 (Bank Islam) atas nama Nur Alia Fitri Bahudin.