X

Kindly register in order to view this article
!

KDN akan keluarkan arahan penggunaan kalimah ALLAH

Hamzah Zainuddin
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengeluarkan arahan pentadbiran berhubung penggunaan kalimah ALLAH.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ia selepas pihaknya selesai mengadakan wacana meja bulat bersama pihak berkaitan.

"Arahan akan dikeluarkan secepat mungkin," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan Wacana Meja Bulat bersama wakil bukan Islam di sini pada Khamis.

Menurutnya, arahan yang dikeluarkan itu adalah berdasarkan kuasa Menteri KDN.

"Ia akan dikeluarkan dari masa ke masa mengikut akta sedia ada.

"Contohnya penggunaan kalimah ALLAH, kita tengok sama ada ia penerbitan, kita akan guna Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984," katanya.

Beliau berkata, perlembagaan Persekutuan merupakan batu asas dalam mencapai arahan tersebut.

"Arahan selepas ini akan dikeluarkan selepas mengambil kira pandangan semua pihak," katanya.

Hamzah berkata, toleransi hadir bukan dari kalangan majoriti sahaja malahan semua kumpulan.

"Semua perbincangan dengan wakil komuniti Kristian, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Hindu, Sikh bersama peguam akan digabungkan dan diteliti untuk mencapai kata sepakat dalam penggunaan kalimah ALLAH," katanya.

Isnin lalu, Hamzah turut mengadakan wacana sama dengan badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan turut melibatkan pakar sejarah, peguam ahli politik dan agamawan.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH dan tiga perkataan lain dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka.

Selain kalimah ALLAH, penggunaan perkataan iaitu solat, Kaabah dan Baitullah juga dibenarkan kepada orang Kristian.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Tinggi benarkan penganut Kristian guna kalimah ALLAH


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!