Tun M ulangi Pas tak sokong UMNO di Semenyih

Tun Mahathir berkata demikian selepas perasmian Dasar Komuniti Negara di Padang Awam Taman Puchong Indah, hari ini.
Tun Mahathir berkata demikian selepas perasmian Dasar Komuniti Negara di Padang Awam Taman Puchong Indah, hari ini.
A
A
A

[DIKEMASKINI] PUCHONG - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengulangi pengakuan Pas bahawa parti Islam itu tidak akan menyokong UMNO dalam PRK Semenyih.

Menurut Dr Mahathir, pendirian itu dinyatakan Pas berikutan UMNO bukan melawan DAP dalam PRK Semenyih, sebaliknya berdepan Bersatu.

Katanya, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membuat pengakuan itu dalam pertemuan di pejabatnya, kelmarin.

"Mereka mengakui takkan sokong UMNO kali ini (PRK Semenyih) kerana yang lawan dengan UMNO bukan dari DAP, tetapi Bersatu. Mereka nyatakan kepada saya mereka takkan sokong UMNO, tapi mereka tak nak isytiharkan perkara itu.

"Tetapi apabila saya dengar penafian, maka terpaksalah saya sebut apa yang sebenarnya berlaku iaitu pengakuan mereka bahawa kali ini mereka tidak akan sokong UMNO," katanya dalam sidang media selepas perasmian Dasar Komuniti Negara di Padang Awam Taman Puchong Indah, di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas tidak sokong UMNO dalam PRK DUN Semenyih: Mahathir

Bagaimanapun, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu berkata, Pas tidak menyebut akan menyokong Bersatu dan PH.

Artikel Berkaitan:

"Mereka cuma sebut tak sokong UMNO dan pemimpin mereka takkan hadir. Tapi seperti mana kita tahu dan lihat, pemimpin mereka hadir juga (penamaan calon)," katanya.

Berkenaan desakan agar beliau mendedahkan surat perjanjian bertulis oleh Pas, Dr Mahathir berkata, beliau mempunyai surat contoh ditandatangani Takiyuddin.

"Mereka cadang untuk buat surat bertulis ditandatangani mereka sebagai pengakuan. Tetapi mereka beri contoh yang ditandatangani oleh Takiyuddin.

"Satu surat itu ada pada saya tapi surat daripada Abdul Hadi dan Shamsuri tiadalah. Janjinya mereka akan buat pengakuan secara bertulis," katanya.

Dr Mahathir turut mendakwa beliau tidak tahu alasan Pas membuat pengakuan itu kepadanya.

"Saya tidak tahu kenapa mereka buat pengakuan. Mereka memang bagi pengakuan kepada saya bahawa mereka menyokong kepimpinan saya.

"Tak ada sebab apa-apa, itu pendirian mereka. Tapi seperti kita tahu mereka tidak selalunya menyokong saya, contohnya di PRK Cameron Highlands," katanya.

Ditanya sama ada Pas mengemukakan sebarang permintaan dalam pertemuan itu, Dr Mahathir berkata, ia melibatkan penyelarasan wakil Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

"Dalam jawatan kuasa kampung terutamanya, kita tak ada wakil PH di Kelantan dan Terengganu. Jadi kita minta tempat untuk wakil kita.

"Mereka juga minta supaya wakil mereka ada dalam badan yang mengurus rancangan di negeri," katanya.