Miliki item Daesh: Tukang masak dipenjara tiga tahun

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang tukang masak sebuah hotel di Singapura tersenyum lebar selepas Mahkamah Tinggi, di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun atas enam kesalahan memiliki pelbagai item berkaitan kumpulan pengganas Daesh, tahun lepas.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Firdaus Kamal Intdzam, 34, selepas dia mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan memiliki item-item tersebut, antaranya dua keping kad memori, sehelai bendera, empat buah buku dan buah telefon bimbit.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Kementerian Kesihatan Malaysia, pekarangan laluan bas masuk, Balai Ketibaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bharu pada jam 10.40 pagi, 5 Ogos 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130 JB (1) (a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana item.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan kesemua hukuman itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 5 Ogos 2020.

Selepas selesai prosiding, tertuduh dilihat tersenyum lebar kepada ahli keluarganya yang berada di galeri awam.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Sarah Khalilah Abdul Rahman memohon hukuman berbentuk pemenjaraan antara tiga dan empat tahun dikenakan ke atas tertuduh mengikut trend hukuman bagi kes-kes terdahulu di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan.

"Walau apa pun alasan mitigasi yang diberikan oleh tuduhan yang bersifat peribadi, mahkamah mesti mempertimbangkan keseriusan kesalahan itu serta hukuman mesti mencerminkan sebagai langkah pencegahan kepada komuniti dan orang awam.

Artikel Berkaitan:

"Dan terutama bagi kesalahan berkaitan keganasan, mahkamah perlu mengambil kira notis kehakiman terhadap ancaman berterusan berkaitan keganasan di dalam dan sekitar rantau ini,” katanya yang mengendalikan kes itu bersama TPR Rohaiza Abd Rahman.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman yang ringan dengan alasan dia adalah penanggung utama keluarga. - Bernama