Zii Jia terima dos pertama vaksin Covid-19 hari ini

Lee Zii Jia
Lee Zii Jia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setelah ‘tercicir’ akibat demam, pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kompleks Sukan Desa Tasik, Cheras hari ini.

Perkara berkenaan disahkan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann.

“Beliau sudah menerima vaksin pagi tadi. Zii Jia telah pulih daripada demam dan sudah memulakan latihan seperti biasa,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Juara All England 2021 itu sepatutnya menerima vaksin Pfizer-BioNTech bersama kumpulan pertama 264 atlet dan pegawai yang sedang dalam persiapan ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo pada Selasa lepas.

Namun, ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berkata, pemain berusia 23 tahun itu tidak dapat hadir pada hari berkenaan kerana mengalami demam sejak dua hari sebelum itu, kemungkinan akibat keletihan.

Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang ditangguh selama setahun akibat pandemik Covid-19 dijadual semula dari 23 Julai hingga 8 Ogos manakala Sukan Paralimpik bermula 24 Ogos hingga 5 September ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: