17 sekatan jalan raya di Kelantan mulai malam ini

Gambar hiasan - Foto Fail Sinar Harian (Gambar kecil: Shafien)
Gambar hiasan - Foto Fail Sinar Harian (Gambar kecil: Shafien)
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 17 sekatan jalan raya di seluruh negeri ini akan dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa jam 12 tengah malam ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, jumlah itu termasuk empat sekatan jalan raya sedia ada di sempadan antara negeri iaitu di Gua Musang, Jeli dan dua di Pasir Puteh.

Katanya, seramai 500 anggota terlibat dalam sekatan jalan raya di sempadan antara daerah iaitu tiga di Kota Bharu, masing-masing dua di Pasir Mas, Bachok, Tumpat dan Machang manakala satu di Tanah Merah dan satu tambahan di Pasir Puteh.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan memperketatkan kawalan di laluan tikus antara sempadan daerah dan negeri.

“PKP kali ini tidak membenarkan rentas daerah dan negeri kecuali tugas perkhidmatan yang mempunyai kelulusan surat perjalanan daripada PDRM,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, PDRM Kelantan turut memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) peniaga dan pelanggan di gerai kaki lima serta tepi jalan yang menjual juadah berbuka puasa.

“Setakat hari ini, SOP PKP sedia ada yang dikemas kini diguna pakai dan arahan selanjutnya akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dalam masa terdekat.

“Sekiranya ada keperluan, PDRM akan memohon bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan bekerja sama dengan pihak berkuasa tempatan dalam melaksanakan operasi pematuhan SOP ketika PKP,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, dalam pelaksanaan penguatkuasaan SOP, PDRM menggunakan tiga pendekatan iaitu denda RM1,500, RM5,000 dan RM10,000 bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.