Rasuah polis: Lelaki Pakistan didenda RM5,000

Akram (tengah) dibawa pegawai SPRM tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Setar pada Khamis.
Akram (tengah) dibawa pegawai SPRM tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Setar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang buruh warga Pakistan didenda RM5,000 dan penjara sehari selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini kerana menawarkan suapan sebanyak RM150 kepada seorang anggota polis pada 9 April lalu.

Tertuduh, Akram Muhammad, 40, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran pada Khamis.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, Akram didakwa menawarkan wang tunai sebanyak RM150 kepada seorang anggota berpangkat koperal yang bertugas di Cawangan Pengangkutan IPD Kulim, kira-kira jam 10.30 pagi di Jalan Junjong, Kulim.

Suapan itu adalah sebagai balasan agar anggota berkenaan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya yang didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 4 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 selain disyakİ tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Oleh itu, tertuduh didapati telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohamad Fauzee Azizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan: