Ribut: Selangor bantu baik pulih 46 rumah terjejas

Kerja-kerja baik pulih rumah terjejas akibat ribut pada awal Mac lalu sedang giat dilaksanakan. - Foto Ihsan FB Amirudin Shari.
Kerja-kerja baik pulih rumah terjejas akibat ribut pada awal Mac lalu sedang giat dilaksanakan. - Foto Ihsan FB Amirudin Shari.
A
A
A

SEPANG - Kerajaan Selangor mengambil inisiatif bagi membiayai kos baik pulih kerosakan 46 buah rumah di Bandar Baru Salak Tinggi yang terlibat dengan bencana ribut pada awal Mac lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sejumlah RM470,000 telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri melalui Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor bagi melaksanakan proses pemulihan tersebut.

"Kerja-kerja pemulihan rumah yang mengalami kerosakan akibat bencana ribut di Bandar Baru Salak Tinggi.

"Sebanyak 46 rumah akan dibaiki dengan melibatkan kos RM470,000 yang dibiayai oleh kerajaan negeri melalui MBI," katanya menerusi kemas kini di laman Facebook pada Khamis.

Pada 6 Mac lalu, sebanyak 120 rumah di mukim Bandar Baru Salak Tinggi dan Labu termasuk Taman Seroja, Taman Dahlia, apartmen Seroja Hills, apartmen Dahlia Court, apartmen Taman Dahlia, Kampung Baru Salak, Kampung Salak Tengah dan Kampung Lembah Paya terjejas akibat hujan lebat serta ribut.

Turut terjejas ialah empat sekolah dan sebuah tadika perpaduan di sekitar kawasan itu.

Dalam kejadian itu, beberapa kenderaan penduduk turut rosak akibat ditimpa sisa bumbung dan pokok tumbang manakala kabin yang dijadikan pejabat badan pengurusan bersama (JMB) turut terbalik akibat dipukul ribut berkenaan.

Amirudin sebelum ini turut memaklumkan seramai 120 mangsa ribut di dua mukim iaitu Labu dan Bandar Baru Salak Tinggi yang terjejas akibat ribut pada Sabtu bakal menerima bantuan bencana secara 'one-off' sebanyak RM500.

Artikel Berkaitan: