X

Kindly register in order to view this article
!

Perketat SOP, bukan PKP 'separa masak'

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia gesa kerajaan perketat SOP berikutan peningkatan jangkitan pandemik Covid-19 di negara ini. Gambar kecil: Shahir Adnan
A
A

KOTA BHARU - Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) mahu kerajaan mengambil langkah segera memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) berikutan peningkatan jangkitan pandemik Covid-19 di negara ini.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, langkah tersebut penting supaya ia tidak berlaku PKP 'separa masak' iaitu masih ada kelonggaran tertentu dan ruang untuk tidak patuh SOP seperti di beberapa kawasan sebelum ini.

"Sewajibnya, SOP dilaksanakan tanpa mengikut pangkat dan darjat, antara kayangan dan marhaen. Amat memilukan apabila PKP memberi kesan kepada golongan B40.

"Kluster 'kayangan' tidak perlu berfikir kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Rakyat marhaen yang kini terpaksa kais pagi dan petang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau turut mencadangkan mereka yang divaksin juga perlu patuh SOP termasuk pemimpin.

Bagaimanapun Shahir mendakwa, prestasi vaksinasi Covid-19 di Malaysia amat perlahan jika dibandingkan dengan negara serantau seperti Singapura dan Indonesia.

"Pada masa yang sama, negara kita juga terkebelakang jika dibandingkan dengan negara seperti Bangladesh dan India.

"Kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri bertanggungjawab umpama melepaskan batuk di tangga apabila menyalahkan kelembapan penerimaan vaksin dan monopoli negara maju sebagai penyebab kadar vaksinasi negara kita perlahan," katanya.

Beliau berharap kerajaan tidak mengulangi kesilapan PKP 2.0 yang 'separuh masak' terutama di kilang, pusat beli-belah dan kedai emas.

"Akibatnya, PKP 2.0 gagal mencapai objektif apabila kes harian masih antara 1,000 hingga 2,000 sehari.

"Pada masa yang sama, menteri masih melanggar SOP PKP atau PKPB dengan memperhebat penganjuran majlis besar dan tidak penting. Akibatnya, rakyat turut mengambil mudah untuk patuh kepada SOP yang ditetapkan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!