PKP: Tiada pembelian panik di pasar di Kelantan

Bekalan ikan yang dijual masih mencukupi dan tiada pembelian panik berlaku walaupun PKP Jumaat ini.
Bekalan ikan yang dijual masih mencukupi dan tiada pembelian panik berlaku walaupun PKP Jumaat ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa daerah di negeri ini yang bermula Jumaat tidak menjejaskan perniagaan di pasar-pasar utama di negeri ini dan keadaan juga terkawal.

Tiada pembelian panik malah barangan kering masih banyak dan mencukupi sepanjang Ramadan.

Tinjauan Sinar Harian di Pasar Berek 12 pada Khamis mendapati suasana masih seperti biasa dan pengunjung membeli dengan berhemah mengikut keperluan semasa sahaja.

Peniaga santan, Che Mah Che Leh, 40-an memberitahu, dia menyediakan bekalan kelapa sebelum puasa bagi memastikan stok akan berterusan sepanjang Ramadan.

Katanya, walaupun dapat berniaga sehingga tengah hari sahaja tetapi dia bersyukur kerana permintaan daripada pelanggan tidak pernah putus sehingga kedai ditutup.

"Alhamdulillah tiada pembelian panik dan pelanggan mendapatkan barangan untuk keperluan sahaja,"katanya.

Asmaliza (kanan) berharap tidak berlaku kenaikan harga sepanjang Ramadan.
Asmaliza (kanan) berharap tidak berlaku kenaikan harga sepanjang Ramadan.

Perkara yang sama diakui Asmaliza Ismail, 46, yang berniaga pelbagai jenis sayur di pasar tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, walaupun harga barangan mungkin sedikit berbeza berbanding sebelum Ramadan namun bekalan masih mencukupi dan tidak berdepan sebarang masalah.

"Buat masa ini rata-rata pelanggan yang datang semuanya membeli lauk dan sayur untuk dimasak setiap hari. Bukan untuk stok.

"Walaupun PKP Jumaat ini, tapi mereka tetap boleh datang ke pasar membeli barangan keperluan. Mungkin sebab itu tiada pembelian panik. Kami pun risau juga pada mulanya, tapi Alhamdulillah semuanya baik sahaja. Harap harga barangan pun tidak dinaikkan lagi. Kesian pada kami dan pembeli," katanya.

Bagi peniaga pula, Yusman Kamaruddin, 40-an memberitahu, dia dan beberapa pekerja yang lain sudah bersedia sepenuhnya menghadapi PKP Jumaat ini.

Katanya, sehingga kini stok bekalan barangan basah terutama ikan yang disediakan sentiasa mencukupi dan dapat memenuhi keperluan orang ramai yang datang ke pasar berkenaan.

"Apa yang penting, kita mahu semua pelanggan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kita sebagai peniaga yang berurusan secara langsung dengan pembeli ini berdepan pelbagai risiko sebenarnya. Sama-samalah kita jaga diri kita sebaik mungkin, Insya-ALLAH, dijauhkan dari segala penyakit tersebut," katanya.