Temujanji vaksinasi: MKN benar individu bawa tanggungan rentas negeri

Khairy (tiga dari kanan) melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan MBS, Seremban pada Khamis.
Khairy (tiga dari kanan) melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan MBS, Seremban pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMASKINI] Individu yang perlu membawa tanggungan terutama ibu bapa bagi temu janji vaksinasi Covid-19 dibenarkan merentas negeri.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkara itu sudah dipersetujui Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Sebagai contoh, jika ada anak yang duduk di Kuala Lumpur mahu merentas negeri di Rembau (Negeri Sembilan) untuk bawa ibu bapa mereka yang sudah uzur dan berumur untuk ke temu janji.

"Boleh tunjuk bukti temu janji ibu bapa kepada pihak berkuasa. Kita akan bagi kelonggaran kepada waris atau ahli keluarga," katanya pada sidang akhbar ketika membuat lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini pada Khamis.

Sementara itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, bagi menggalakkan orang ramai membuat pendaftaran vaksin, kempen secara bersemuka dipertingkatkan di seluruh negeri dengan melibatkan semua agensi kerajaan dan ketua masyarakat.

"Kita akan mengadakan sesi perjumpaan dan lawatan dari rumah ke rumah bagi menggalakan pendaftaran," katanya.

Ditanya adakah kerajaan bercadang untuk mendahulukan pemberian vaksin kepada kumpulan fasa ketiga berikutan peratusan pendaftaran bagi kumpulan fasa kedua yang rendah, Khairy berkata, menjadi dasar Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk meneruskan kepada kumpulan fasa ketiga jika fasa kedua sudah selesai.

"Walaupun kita sudah memulakan kumpulan fasa ketiga tetapi jika ada kumpulan fasa kedua yang baru buat pendaftaran, kita akan dahulukan mereka," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga Rabu, sebanyak 170,970 bilangan pendaftaran vaksin bagi fasa kedua di Negeri Sembilan dicatatkan membabitkan 68,032 warga emas, selain komorbid (96,513) dan orang kurang upaya (6,425).

Ujarnya, pemberian vaksin bagi fasa kedua berkenaan akan bermula pada 19 April ini di Dewan MBS dan Dewan Pejabat Daerah Jempol.

"Ia melibatkan sebanyak 2,748 temu janji di Dewan MBS dan 2,520 di Dewan Pejabat Daerah Jempol bagi tempoh 19 hingga 27 April dan 10 hingga 20 Mei.

"Sebanyak 15 PPV akan dibuka secara berperingkat di negeri ini. Sebanyak empat 'special PPV' (SPPV) memfokuskan penerima vaksin yang terdiri daripada kumpulan berisiko tinggi iaitu Hospital Tuanku Jaafar di Seremban, Hospital Port Dickson, Hospital Tentera Darat di Kem Syed Sirajuddin Gemas dan Hospital Tuanku Ampuan Najihah di Kuala Pilah," katanya.