Dari selatan ke utara pecah masuk premis daging sejuk beku

Polis sedang memeriksa lori yang digunakan suspek untuk mencuri daging sejuk beku di Perai. (Gambar kecil: Shafee Abd Samad)
Polis sedang memeriksa lori yang digunakan suspek untuk mencuri daging sejuk beku di Perai. (Gambar kecil: Shafee Abd Samad)
A
A
A

PERAI - Modus operandi empat lelaki dari selatan tanah air yang mencari premis menjual daging sejuk beku melalui Facebook dan Google untuk dipecah masuk gagal apabila mereka ditahan pada jam 2.40 petang, Rabu.

Kesemua mereka ditahan bersama 395 kotak daging sejuk beku antaranya kambing dan kerbau di sebuah parkir kenderaan sebuah stesen minyak Lebuhraya Plus arah selatan Johor dekat Senai, Johor.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, kesemua lelaki berusia lingkungan 27 hingga 37 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang pemilik premis menjual daging sejuk beku berhubung premisnya telah dipecah masuk.

Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 9.30 pagi, 4 April lalu ketika pemilik premis tiba di premisnya dan mendapati pintu utama tempat menyimpan daging sejuk beku terbuka dan di dalamnya kosong.

Shafee berkata, susulan itu, polis telah menjalankan siasatan dan berjaya menahan keempat-empat suspek dari Johor itu.

"Suspek mengaku terlibat dalam kes pecah sebuah kedai menjual daging sejuk beku di Taman Inderawasih di sini. Ketua kumpulan itu juga mengaku bahawa mereka menyasarkan kedai menjual daging sejuk beku di sebelah utara melalui Facebook dan Google.

"Tujuan mereka mencuri di kawasan utara untuk mengelak dikesan polis kerana mereka sudah kerap ditahan di kawasan selatan tanah air. Ketua kumpulan yang berusia 32 tahun itu mengajak tiga rakannya melakukan jenayah itu kerana mereka tidak bekerja," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, lelaki tersebut telah membayar RM5,000 kepada dua rakannya manakala seorang lagi dibayar RM8,000 sebagai upah.

Artikel Berkaitan:

"Kumpulan itu telah menjual kesemua daging sejuk beku tersebut kepada seorang lelaki di Johor Bahru pada harga RM35,000. Bagaimanapun, suspek tidak mengetahui lokasi kediaman dan kedai lelaki berkenaan.

"Selain daging sejuk beku, kita turut merampas sebuah lori jenis Mitsubishi, lima telefon bimbit, sebuah alat pemotong besi dan dua troli," katanya.

Jelasnya, dua daripada suspek sudah berkahwin manakala dua lagi masih bujang.

"Kesemua mereka mempunyai rekod lampau manakala ketua kumpulan mempunyai lapan rekod.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah," katanya.