'Tiada siapa paksa beli, kalau rasa mahal masak sendiri'

Suasana di bazar Ramadan UTC Sentul pada Rabu. Gambar sekadar hiasan
Suasana di bazar Ramadan UTC Sentul pada Rabu. Gambar sekadar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Laksa basi dan bihun sup mahal antara pengalaman dikongsikan pengguna yang membeli juadah di bazar Ramadan seperti dikongsikan di media sosial pada Rabu.

Menerusi laman Facebook Penduduk Batu Caves/ Selayang/ Gombak/ Rawang / Kepong/ Sentul memaparkan perkongsian seorang pengguna berkenaan pengalamannya membeli bihun sup yang dianggap mahal apabila isi bihun yang diletakkan hanya sedikit, tidak sampai separuh bekas.

"Kawasan Selayang, (harga) RM6... tahun ini nak pergi Makkah balik hari ke," tulis pengguna berkenaan berserta gambar makanan yang dibelinya.

Menerjah di ruangan komen, kebanyakan pengguna memberikan pelbagai pandangan berkenaan perkongsian tersebut antaranya pemilik akaun Facebook, Nik Mohd Kamaruzaman yang kurang senang dengan tindakan individu berkenaan menularkan perkara itu di media sosial.

"Tak ada orang paksa beli, (kalau) rasa mahal jangan beli, masak sendiri habis cerita, nak bising kenapa?" tulisnya di ruangan komen.

"Sebelum beli tak tanya dulu ke? Ke memang ada plan nak post dalam grup untuk mencari like?" tulis pengguna, Zulhilmi Ahmad Bustami.

Seorang lagi komentar, Lok Chee Wong meluahkan kebimbangan penularan gambar tersebut di media sosial bakal menjejaskan rezeki peniaga berkenaan.

"Banyak pilihan di bazar Ramadan. Orang berniaga bulan puasa ini terpaksa menyediakan makanan dengan perut lapar dan menahan kepanasan dan dahaga di dapur.

Artikel Berkaitan:

Isi bihun yang sedikit seperti dikongsikan seorang pengguna di media sosial. Kanan: Laksa yang dibeli pengadu yang didakwa telah basi.
Isi bihun yang sedikit seperti dikongsikan seorang pengguna di media sosial. Kanan: Laksa yang dibeli pengadu yang didakwa telah basi.

"Oleh itu apa salahnya membayar lebih sedikit kepada peniaga tersebut. Ini bila viral di sosial media mesti ada yang akan bertanya 'beli di mana'?

"Kesianlah peniaga tersebut jika diboikot. Bulan puasa ini kita bukan saja menahan lapar dan dahaga, apa yang dicakap dan ditulis pun kena yang baik-baik. Apa pun selamat berbuka kepada yang berpuasa.

Dalam perkongsian sama, terdapat juga komentar yang memihak perkongsian pengadu dengan mengatakan harga RM6 bagi sebekas mihun sup itu dianggap mahal.

"Saya meniaga di bazar...kalau sikit macam ini melampau lah, Kalau saya jual RM3 saja," tulis Miera Deen.

"Silapnya orang Melayu ini asyik nak fikir positif saja sampai naik lemak peniaga-peniaga macam ini," tulis Irwan Transport.

Dalam pada itu, seorang wanita berkongsi gambar laksa dibelinya di salah satu bazar Ramadan di Sentul didakwanya sudah basi dalam grup Facebook Bandar Baru Sentul Food Delivery.

"Buat peniaga di bazar Ramadan, jangan aniaya orang berpuasa. Kesian pada kami, nak buka puasa makanan dah basi," tulis penguna berkenaan.

Perkongsian itu menarik komen pengguna yang turut berkongsikan pengalaman membeli juadah di bazar Ramadan tetapi bukan membeli makanan telah basi tetapi harganya yang mahal.

"Saya pun tadi beli murtabak ayam, murtabaknya nipis (sangat) harga RM6. Rasanya orang yang berniaga di bazar ini nak pergi Makkah balik hari agaknya, jual makanan tak ikhlas dalam bulan puasa," luahnya.

"Saya beli takoyaki, sos asing... sampai rumah tengok plastik sos dah terik, buka-buka bau masam. Sakit hati betul (lokasi) pasar Taman Melati," kongsi Puan Hajal Che Ahmed.