X

Kindly register in order to view this article
!

Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini

Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini seiring bursa serantau, didorong oleh sentimen pasaran yang lebih baik. - Gambar hiasan
A
A

BURSA Malaysia dibuka tinggi pagi ini seiring bursa serantau, didorong oleh sentimen pasaran yang lebih baik ekoran kebimbangan terhadap inflasi tinggi Amerika Syarikat yang mereda, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.91 mata kepada 1,600.19 daripada 1,597.71 semasa ditutup pada Rabu.

Indeks dibuka 1.53 mata lebih tinggi kepada 1,599.81.

Peningkatan dalam indeks komposit disokong oleh kenaikan saham sarung tangan getah dan kaunter saham wajaran tinggi terpilih yang lain.

Supermax dan Top Glove naik enam sen masing-masing kepada RM4.66 dan RM5.19, manakala Hartalega meningkat tiga sen kepada RM9.50.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 212 kepada 180, manakala 309 kaunter tidak berubah, 1,476 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 265.65 juta saham bernilai RM158.26 juta.

Dalam satu nota, Malacca Securities Sdn Bhd berkata, dengan penularan Covid-19 di negara ini yang menunjukkan aliran peningkatan, keseluruhan sentimen pasaran mungkin kekal gelisah.

Bagaimanapun, kenaikan harga minyak mentah di tengah-tengah keyakinan permintaan akan kembali selepas sekatan perjalanan, memberikan sedikit kelegaan terutamanya kepada penggiat minyak dan gas.

“Kami yakin kaunter minyak dan gas akan berada di bawah radar peniaga ekoran kenaikan harga minyak.

“Permintaan harian terhadap makanan dan pembungkusan ketika perintah kawalan pergerakan dilanjutkan, mungkin menarik minat belian dalam sektor pengguna dan pembungkusan,” katanya sambil memaklumkan sektor penjagaan kesihatan turut menjadi tumpuan memandangkan Malaysia berada di ambang gelombang keempat Covid-19 susulan peningkatan kes baharu dan aktif.

Kes baharu Covid-19 di negara ini menokok kepada 1,889 pada Rabu berbanding 1,767 Selasa, menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 dalam negara sebanyak 365,829 kes.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM8.33, Petronas Chemicals dan Tenaga meningkat empat sen masing-masing kepada RM7.92 dan RM10.20, manakala Public Bank dan IHH Healthcare tidak berubah masing-masing pada RM4.20 dan RM5.40.

Dalam kalangan saham aktif, AT Sytematization dan Asia Poly meningkat setengah sen masing-masing kepada 10 sen dan 41 sen, Widad naik satu sen kepada 54.5 sen, manakala Ucrest tidak berubah pada 30.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas tinggi 15.76 mata kepada 11,850.6, Indeks FBM Emas Shariah menokok 22.76 mata kepada 13,225.47, FBMT 100 naik 11.99 mata kepada 11,494.63, FBM 70 menambah 9.87 mata kepada 15,848.38 dan FBM ACE meningkat 85.79 mata kepada 9,419.29.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.57 mata kepada 195.49, Indeks Perladangan naik 1.2 mata kepada 6,970.02 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 2.96 mata kepada 15,124.19. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!