Ebit Lew 'borong' juadah, bantu peniaga bazar Ramadan

Ebit Lew sumbang tujuh khemah kepada peniaga di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. - Foto Facebook Ebit Lew
Ebit Lew sumbang tujuh khemah kepada peniaga di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. - Foto Facebook Ebit Lew
A
A
A

KUALA LUMPUR - Simpati melihat kejadian menimpa para peniaga bazar Ramadan Seksyen 1 Wangsa Maju, di sini yang mengalami kerugian akibat hujan dan angin kencang mendorong penceramah terkenal, Ebit Lew tampil menghulurkan sumbangan kepada golongan terjejas.

Beliau berasa sayu sebaik melihat kejadian tidak diduga menimpa para peniaga yang pertama kali berniaga pada Ramadan kali ini terutama peniaga yong tau fu, Fatin Amalina Zulkifli, 29, bersama ibu dan adiknya di mana aksi mereka sedang mengutip jualan yang jatuh di atas jalan dalam keadaan hujan tular hingga mengundang simpati warganet.

"Sebak sayu rasa hati bila tengok khemah makcik jual yong tau fu di Wangsa Maju runtuh rosak diterbangkan angin waktu hujan ribut kuat semalam.

"Baru hari pertama berniaga. Semuanya rosak. Dekat RM800 juga semuanya modal. Berat ujian mereka. Di sinilah rezeki dan harapan mereka. Ujian mereka," ujarnya dalam status di Facebook rasminya pada Rabu.

Katanya, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian terbabit, beliau bergegas ke lokasi dan membeli sebanyak tujuh khemah untuk disumbangkan kepada tujuh peniaga yang tidak memiliki khemah termasuk memberi wang perbelanjaan buat mereka.

"Betapa besar harapan seorang peniaga menanti bazar Ramadan ini. Dengan nak dapat tapak. Ramai yang nak masuk. Dengan keadaan Covid-19 sekarang. Allahuakbar.

"Bila saya beri sedikit duit tadi wajah makcik berubah sebak sayu je. Ucap terima kasih. Gembira rasa dapat melihat beberapa peniaga gembira hari ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ebit Lew bantu peniaga yong tau fu di Wangsa Maju, Kuala Lumpur yang terjejas teruk akibat hujan dan angin kencang. - Foto Facebook Ebit Lew
Ebit Lew bantu peniaga yong tau fu di Wangsa Maju, Kuala Lumpur yang terjejas teruk akibat hujan dan angin kencang. - Foto Facebook Ebit Lew

Dalam pada itu, Ebit Lew juga 'memborong' juadah berbuka puasa bagi membantu para peniaga ekoran kekurangan pelanggan disebabkan bencana alam itu.

"Musim hujan sekarang. Agak kurang orang membeli. Tengok makanan banyak rasa sedih. Tapi kata peniaga di sini. Beginilah ustaz cari rezeki. Adat berniaga. Insya-ALLAH sekejap lagi ramai datang membeli. Allahuakbar.

"Berapalah sangat untung mereka. Tapi demi rezeki halal. Bagi kita mungkin sedikit tetapi bagi peniaga 50 sen itu rezeki buat mereka. Saya doakan ALLAH berkatkan dan mudahkan buat semua peniaga bazar Ramadan dan pasar malam di seluruh Malaysia," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga yong tau fu rugi RM800 khemah terbalik

Pada Selasa, tular video berdurasi 41 saat memaparkan Fatin bersama ibu dan adiknya sedang mengutip jualan yang jatuh di atas jalan dalam keadaan hujan.

Fatin Amalina berkata, dalam kejadian sekitar jam 5 petang itu, dia mengalami kerugian kira-kira RM800 melibatkan jualan makanan yong tau fu yang rosak dan terpaksa dibuang selain khemah niaganya patah.

Bagaimanapun mereka sekeluarga menganggap insiden itu sebagai ujian di hari pertama berniaga pada bulan Ramadan.