Inovasi pembasmi kuman UMP dapat tempat dalam industri penerbangan

Zularisam (dua dari kiri) bertukar dokumen MoU dengan Shaiful Amri pada majlis di KLIA baru-baru ini.
Zularisam (dua dari kiri) bertukar dokumen MoU dengan Shaiful Amri pada majlis di KLIA baru-baru ini.
A
A
A

KUANTAN - Bahan pembasmi kuman, Diaclean Pera Sterilant hasil inovasi Universiti Malaysia Pahang (UMP) mendapat tempat dalam sektor sanitasi awam industri penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Diaclean Pera Sterilant telah diuji pakai ke atas beberapa pesawat penumpang dan kargo serta diterima baik penggunaannya oleh beberapa syarikat penerbangan.

Pengarah UMP Renal Care Sdn Bhd, Profesor Datuk Ts Dr Zularisam Ab Wahid berkata, produk pembasmi kuman itu mematuhi piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan United Environmental Protection Agency (USEPA) sebagai bahan aktif yang mampu membunuh virus Covid-19.

Menurutnya, produk itu merupakan pembasmi kuman organik berasaskan cuka makanan keluaran tempatan pertama di Malaysia dan telah mendapat pensijilan Lembaga Peranti Perubatan (MDA) Kementerian Kesihatan (KKM) dan Halal Jakim.

“Selain bersifat mesra alam mudah terbiodegradasi dan tidak menghakis, ia juga terbukti mampu membunuh human coronavirus dalam masa kurang daripada dua minit oleh makmal pengujian virucidal activity antarabangsa, Viroxy Lab.

“Diaclean Pera Sterilant bersifat gred makanan, mesra pengguna dan mesra alam serta sesuai digunakan bagi tujuan sanitasi awam seperti di pesawat kapal terbang penumpang dan kargo dalam industri penerbangan di KLIA," katanya.

Zularisam berkata, pihaknya berhasrat melebarkan penggunaan Diaclean Pera Strilant dalam industri rel transit penumpang seperti Perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT), Sistem Pengangkutan Gerak Cepat (MRT), perkhidmatan monorel dan komuter serta industri pengangkutan awam lain.

“Selain berfungsi sebagai disinfektan nyah cemar permukaan, Diaclean Pera Sterilant juga sangat sesuai digunakan sebagai bahan disinfeksi dalam industri penternakan, perladangan, pensterilan alatan perubatan, tenusu dan rawatan air,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Profesor Ts Dr Kamal Zuhairi Zamli berkata, pihaknya meneroka peluang kerjasama dan berkongsi kepakaran dalam bidang sanitasi awam industri penerbangan dan rel menggunakan bahan pembasmi kuman keluaran UMP itu.

Menurutnya, bagi tujuan itu, UMP bekerjasama bersama sebuah syarikat yang menjalankan servis pencucian dan disinfeksi pesawat di KLIA, ADK Solution Sdn Bhd (ADK).

"Kolaboratif ini memberi peluang kepada UMP berkongsi kepakaran teknologi, nasihat teknikal dan konsultansi," katanya.

Kamal Zuhairi berkata, Diaclean Pera Sterilant dihasilkan sebagai disinfektan organik kelas tinggi (HDL) oleh anak syarikat UMP, UMP Renal Care Sdn Bhd, pengeluar teknologi bahan aktif asid peracetik yang pertama di negara ini.

Menurutnya, bahan pembasmi kuman menggunakan teknologi tempatan itu terbukti berkesan dalam membunuh human coronavirus.

"Melalui penggunaan bahan pembasmi kuman ini pandemik Covid-19 dapat dibendung dan dikawal secara efektif mengikut tatacara pembersihan dan disinfeksi di tempat awam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ADK, Shaiful Amri Md Aris berkata, Diaclean Pera Sterilant telah diuji pakai ke atas beberapa pesawat penumpang dan kargo serta diterima baik penggunaannya oleh beberapa syarikat penerbangan.

“Hasil aplikasi tersebut amat membanggakan dan ia terbukti berkesan dalam mencegah dan mengawal daripada berlakunya sebarang penularan Covid-19 sama ada di Malaysia mahupun ke negara di mana pesawat penumpang atau kargo tersebut mendarat.

“Kami turut menjalankan bahan ini untuk servis nyah cemar di beberapa pesawat penumpang, pesawat kargo, bahagian logistik barangan, gudang dan pejabat-pejabat operasi penerbangan,” katanya.

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMP dan ADK diadakan di KLIA, baru-baru ini.