PGA patahkan cubaan seludup 1.92 tan beras

PGA Batalion 9 Kuala Terengganu mematahkan cubaan menyeludup 1.92 tan beras apabila merampas barangan itu di dalam sebuah pacuan empat roda berhampiran pangkalan haram Tar, Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah pada Rabu.
PGA Batalion 9 Kuala Terengganu mematahkan cubaan menyeludup 1.92 tan beras apabila merampas barangan itu di dalam sebuah pacuan empat roda berhampiran pangkalan haram Tar, Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah pada Rabu.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu mematahkan cubaan menyeludup 1.92 tan beras apabila merampas barangan itu di dalam sebuah pacuan empat roda berhampiran pangkalan haram Tar, Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah pada Rabu.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, rampasan beras bernilai RM7,700 itu dilakukan pihaknya selepas menerima maklumat berkait aktiviti penyeludupan daripada orang awam.

"Sejurus menerima maklumat penyeludupan itu sepasukan anggota telah digerakkan ke lokasi untuk membuat pemantauan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, semasa berada di lokasi, anggota PGA telah terserempak dengan kenderaan tersebut yang dipandu dalam keadaan mencurigakan keluar dari kawasan pangkalan haram pada jam 12.15 malam.

Beliau berkata, PGA bertindak mengejar untuk menahan kenderaan tersebut daripada lolos.

Nor Azizan berkata, bagaimanapun suspek telah memberhentikan kenderaan secara mengejut dan kemudian melarikan diri ke kawasan semak bagi mengelakkan diri daripada ditahan anggota PGA.

Katanya, pemeriksaan ke atas kenderaan itu menjumpai guni yang mengandungi 77 paket berisi beras.

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan jenis Pajero dianggarkan berjumlah RM17,700," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nor Azizan berkata, siasatan awal mendapati beras itu dibawa masuk secara tidak sah menggunakan pangkalan haram selepas mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat setempat.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.

"Kita akan terus perketatkan kawalan sempadan dalam usaha mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan," katanya.