Aksi persahabatan ikut kesesuaian persiapan Harimau Malaya

No Image Caption
A
A
A

PEMILIHAN dua pasukan untuk aksi persahabatan skuad Harimau Malaya menjelang baki aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun depan dibuat berdasarkan kepada kesesuaian persiapan pasukan.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, pemilihan dua pasukan itu dilakukan sendiri oleh ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengikut kesesuaiannya bagi mengharungi baki tiga perlawanan penting melibatkan aksi berdepan UAE, Vietnam dan Thailand pada aksi kelayakan berkenaan.

“Kedua-dua pasukan ini adalah pasukan dari negara Asia Barat yang dipilih sendiri oleh coach Tan (Cheng Hoe), mengikut kesesuaian persiapan pasukan untuk mengharungi aksi kelayakan berkenaan.

“Pemilihan ini juga bukan dibuat mengikut ranking atau mengikut pasukan mana yang kita mahu temui, tetapi ia mengikut kesesuaian baki tiga perlawanan penting yang akan kita harungi pada aksi kelayakan nanti,” katanya pada Rabu.

Setakat ini satu daripada pasukan iaitu Bahrain sudah mengesahkan aksi persahabatan berkenaan manakala satu pasukan lagi dijangka mengesahkannya dalam masa terdekat.

Kedua-dua aksi pemanas badan itu diharap mampu untuk mempersiapkan skuad kebangsaan menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Kumpulan G apabila berdepan UAE pada 3 Jun diikuti Vietnam (11 Jun) dan Thailand pada 15 Jun.

Skuad negara yang kini berada pada kedudukan kedua Kumpulan G bagi aksi kelayakan berkenaan, bakal berdepan cabaran getir untuk mara ke pusingan seterusnya.

Sementara itu, Stuart turut mengesahkan pihaknya telah selesai mengemaskini kalendar bagi pasukan kebangsaan bagi 2021.

Artikel Berkaitan:

“Berdasarkan kalendar, skuad kebangsaan akan berkumpul sekali lagi bagi mengikuti kem latihan pusat pada 16 Mei, depan sebagai persiapan untuk mengharungi aksi kelayakan berkenaan,” katanya.