Arul pertahan pemilihan pemain

Arul Selvaraj
Arul Selvaraj
A
A
A

KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj mempertahankan keputusan pemilihan pemain bagi menyertai kem latihan skuad negara yang akan bermula pada Khamis ini.

Arul telah mengumumkan senarai 22 pemain menyertai kem latihan skuad negara pada Selasa, namun senarai pemain yang dikeluarkan itu menyaksikan hanya ada dua pemain pasukan Terengganu Hockey Team (THT) yang dipanggil.

Ia sekali gus mengundang persoalan dalam kalangan peminat hoki tempatan kewajaran pemilihan yang dilakukan oleh Arul sedangkan pasukan dari Pantai Timur itu dilihat perlu mempunyai wakil pemain yang lebih ramai selepas menjuarai Piala TNB baru-baru ini.

Menurut Arul, beberapa pemain THT diserapkan dalam pasukan remaja untuk menghadapi Piala Remaja Asia yang akan dilangsungkan pada Julai nanti.

"Ada beberapa pemain THT yang sepatutnya berada dalam skuad kebangsaan, tetapi saya lepaskan mereka ke pasukan remaja kerana khidmat mereka diperlukan untuk menghadapi Piala Remaja Asia pada Julai.

"Tiada sebarang unsur pilih kasih di sini. Pemain yang dilepaskan ke skuad remaja seperti Muhammad Noor Firdaus Rosdi, Shello Silverius, Syarman Mat Tee dan Muhammad Arif Syafie Ishak ada dalam perancangan saya untuk skuad kebangsaan.

"Jika saya ada elemen pilih kasih, sudah tentu saya pilih ramai pemain daripada pasukan UniKL kerana saya pernah menjadi jurulatih mereka dahulu. Tetapi, pada hakikatnya saya memilih berdasarkan prestasi pemain dengan ramai pemain daripada pasukan TNB yang dipilih.

"Tetapi, tidak mengapalah. Saya tidak boleh menghalang siapa pun yang mahu mengkritik kerana tugas saya adalah buat yang terbaik dan saya memegang dua prinsip kerja saya iaitu ikhlas dan jujur," katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Arul mengakui perlawanan persahabatan menentang Britain dan Jepun pada 17 hingga 24 April ini di Stadium Nasional akan digunakan sebaiknya dalam usaha memperkemaskan corak permainan pasukan kebangsaan selepas sudah lama tidak bersama ekoran pandemik Covid-19.

"Ini peluang terbaik untuk kami membentuk kembali pasukan kerana kita menentang pasukan yang akan ke Sukan Olimpik. Kali terakhir kita bermain adalah pada bulan November 2019. Kita perlu gunakan sebaiknya peluang ini walaupun kita sebenarnya belum bersedia untuk berdepan dua gergasi ini.

"Namun, itu bukan alasan kerana kami berjanji akan berikan yang terbaik dan memastikan cabaran daripada pemain negara terhadap dua pasukan tersebut," katanya.