Iltizam politik dalam pilihan raya

No Image Caption
A
A
A

UNDANG-UNDANG pilihan raya di Malaysia bermula dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang digubal British untuk digunakan dalam pilihan raya Legislative Council yang pertama kali diadakan pada 1955.

Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957, Akta Pilihan Raya 1958 dan peraturan berkaitan pilihan raya kemudiannya disediakan masih dengan bantuan British bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) pertama pada 1959.Sehingga hari ini Malaysia melalui 14 PRU dengan mengguna pakai undang-undang yang tidak banyak berubah sejak merdeka.

Walaupun terdapat beberapa pindaan, secara dasarnya perkara asas seperti sistem pilihan raya, pengurusan persempadanan bahagian pilihan raya, prosedur perjalanan pilihan raya, peraturan berkempen, penamaan calon, cara pengundian dan pengiraan kertas undi dan urusan berkaitan pengundi tidak hadir.

Bagi memastikan kesesuaian sesuatu polisi, kerajaan mengkaji polisi-polisi tersebut dari masa ke masa.

Pada Jun 1965, Suruhanjaya Siasatan Diraja ke Atas Perjalanan Kerajaan Tempatan yang dipengerusikan oleh Senator Athi Nahappan telah menjalankan kajian dan antara cadangan suruhanjaya tersebut adalah menggantung peruntukan undang-undang berkaitan pilihan raya kerajaan tempatan.

Hasil cadangan itu, Parlimen telah meluluskan beberapa undang-undang baharu melibatkan pentadbiran kerajaan tempatan termasuk Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang memansuhkan pilihan raya kerajaan tempatan.

Pada 2015, kerajaan Malaysia telah menubuhkan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Hasil cadangan jawatankuasa itu, satu draf Rang Undang-Undang Derma Politik 2019 telah dikemukakan untuk diperhalusi oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Pertimbangan Rang Undang-Undang.

Artikel Berkaitan:

Akibat pertukaran kedudukan ahli-ahli Parlimen pada Mac 2020, sehingga hari ini rang undang-undang tersebut masih belum dibentangkan untuk perbahasan oleh ahli-ahli Parlimen.

Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) yang ditubuhkan pada Ogos 2020 adalah suatu lagi contoh tindakan proaktif kerajaan untuk mengkaji keberkesanan dan kesesuaian sistem dan undang-undang pilihan raya di Malaysia ketika ini.

Berdasarkan contoh yang dinyatakan adalah jelas bahawa sebarang perubahan dalam sistem dan proses pilihan raya tertakluk sama ada pindaan atau penggubalan undang-undang berkaitan.

Kita juga sedia maklum bahawa proses penggubalan dan pindaan hanya berlaku dalam Parlimen yang mana ahli-ahli adalah kumpulan yang akan terkesan secara terus dengan perubahan undang-undang dan peraturan pilihan raya.

Perubahan dalam undang-undang pilihan raya akan mengubah landskap politik dan ahli-ahli politik juga harus berubah bagi memenuhi rentak dan nada baharu sekiranya mereka bersetuju untuk pembaharuan.

Namun soalan utama sering timbul dalam usaha penambahbaikan pilihan raya adalah sejauh mana ahli politik bersetuju untuk meminda sistem dan proses yang telah membawa mereka ke Parlimen? Adakah ahli-ahli politik kita bersedia untuk meminda undang-undang yang mereka begitu arif dan selesa menggunakannya? Sejauh manakah iltizam politik dalam kalangan ahli politik di negara ini?

Pada 2019, Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan persetujuan hampir kesemua ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik untuk membolehkan umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun. Saya percaya perkara sama boleh berlaku apabila ahli-ahli Parlimen meletakkan kepentingan dan kemahuan pengundi di tahap lebih tinggi daripada kepentingan parti masing-masing.

*Amerul Muner Mohammad ialah mantan CEO Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya