Siapa calon terbaik gugat Zahid?

Pemerhati politik berpendapat aspek kepe­ribadian pemimpin perlu dijadikan sandaran utama dalam menentukan calon paling layak menjadi Presiden UMNO seterusnya.
Pemerhati politik berpendapat aspek kepe­ribadian pemimpin perlu dijadikan sandaran utama dalam menentukan calon paling layak menjadi Presiden UMNO seterusnya.
A
A
A

PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) 2020 bulan lalu dilihat masih gagal menangani kekusutan dalam kalangan lebih 3.6 juta ahli parti itu bagi mendepani hala tuju menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Meskipun Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengusulkan dasar baharu parti, ‘No Anwar, No DAP, No Bersatu’ dan disokong sebulat suara oleh majoriti perwakilan PAU tempoh hari, namun timbul rasa gusar dan tidak puas hati segelintir pemimpin akar umbi.

Antara yang dipersoalkan termasuklah tindakan pucuk pimpinan parti memberi kata dua kepada Pas serta memutuskan untuk bergerak solo bersama Barisan Nasional (BN) pada PRU.

Lebih menarik, gesaan supaya pemimpin-pemimpin UMNO meletak jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan segera tidak diterima dengan baik oleh golongan itu.

Hal ini terbukti apabila beberapa pemimpin UMNO yang berstatus menteri seperti Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bingkas mengemukakan desakan supaya pemilihan parti diadakan segera sebelum PRU15.

Kemuncaknya, desakan itu semakin lantang kedengaran apabila satu rakaman audio perbualan telefon mirip suara Ahmad Zahid dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ditularkan di media sosial sejak seminggu lalu.

Desakan daripada kumpulan dianggap anti kepimpinan Ahmad Zahid itu sekali gus mengundang persoalan, adakah proses pemilihan parti benar-benar dapat menyelesaikan kemelut dalaman UMNO yang semakin serius pasca PAU 2020?

Sekiranya desakan itu akhirnya direalisasikan pucuk kepimpinan parti menerusi Majlis Kerja Tertinggi (MKT), siapakah calon-calon lain yang layak menggalas tugas berat itu selain Ahmad Zahid?

Artikel Berkaitan:

PAU paling teruk

Bagi menjawab persoalan itu, beberapa pemerhati politik berpendapat aspek keperibadian pemimpin perlu dijadikan sandaran utama dalam menentukan calon paling layak menjadi Presiden UMNO seterusnya.

Apabila dua jawatan tertinggi UMNO kembali dibenarkan dipertandingkan semula pada pemilihan parti tahun 2018, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff menganggap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah calon terbaik.

“Keberanian Ismail Sabri menegur cara Perhimpunan Agung UMNO 2020 diadakan, diharap dapat membuka mata ahli-ahli parti di peringkat akar umbi tentang kedudukan semasa UMNO dalam kerajaan.

“Sebagai satu-satunya Menteri Kanan UMNO dalam kerajaan, Ismail Sabri dilihat mampu dan sedang membawa UMNO kembali kepada landasan perjuangan sebenar,” katanya.

Ahmad Zahid dan Mohamad
Ahmad Zahid dan Mohamad

Keberanian Ismail Sabri itu sememangnya terbukti menerusi program Bangkit15 di Pahang baru-baru ini apabila beliau menyifatkan PAU 2020 adalah paling teruk dalam sejarah UMNO kerana paling banyak berlaku ‘tembak-menembak’ sesama sendiri.

Kamarul Zaman menambah, walaupun kelihatan agak janggal, keberanian Ismail Sabri mengulas mengenainya membuka mata banyak pihak mengenai keperluan UMNO untuk mengadakan pemilihan tahun ini.

Namun, pendapat berbeza diutarakan seorang lagi penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib.

Pemimpin senior

Tanpa berselindung, beliau menganggap Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai calon paling layak diangkat sebagai Presiden UMNO dalam kalangan akar umbi UMNO.

“Dari segi kriteria, beliau merupakan seorang pemimpin senior, tidak terlalu berumur, diiktiraf dan dihormati di peringkat antarabangsa serta memiliki jaringan perhubungan dalam dan luar negeri dari sudut diplomasi dan perdagangan antarabangsa.

“Dari aspek sokongan akar umbi, Hishammuddin juga dilihat sebagai pemimpin alternatif UMNO terbaik, ditambah pengalaman sebagai bekas Naib Presiden UMNO banyak membantu mengukuhkan reputasi beliau,” katanya.

Di sebalik keyakinan itu, Md Shukri meminta pemimpin-pemimpin lain yang berpotensi seperti Khairy, Ismail Sabri dan Annuar ‘berkorban’ dan bekerjasama dengan Hishammuddin pada pemilihan parti bagi memastikan ia berlangsung dalam suasana ‘kekeluargaan’.

Hishammuddin
Hishammuddin

“Begitu juga dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan atau ‘Tok Mat’. Walaupun rakyat suka beliau, ciri kepimpinan ditonjolkan Tok Mat masih pada tahap negeri, belum capai nasional lagi.

“Lagipun, beliau tidak mempunyai sokongan akar umbi kuat di luar kawasan Negeri Sembilan. Saya berharap Tok Mat boleh menjalinkan kerjasama dengan Hishammuddin dengan terus menjadi pemimpin No 2 di belakang Menteri Luar itu,” katanya.

Sokongan 191 bahagian

Sementara itu, Felo Penyelidik Majlis Profesor Negara, Dr Muhammad Asri Mohd Ali pula lebih melihat pelaksanaan proses pemilihan UMNO sebelum PRU15 sebenarnya tidak akan mengubah apa-apa.

Jelas beliau, UMNO sebenarnya masih belum mempunyai seorang tokoh yang benar-benar mampu menyatukan parti itu dengan tokoh veteran, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dilihat terlalu ‘berseorangan’ untuk bertanding.

“Calon pencabar terdekat kepada Zahid berkemungkinan ialah Tok Mat. Tetapi kunci untuk memenangi jawatan Presiden UMNO adalah mendapat sokongan 191 ketua bahagian dan Tok Mat tiada keupayaan itu.

“Realiti sebenar dalam UMNO adalah majoriti ketua bahagian menyokong Najib yang kini sokongan itu diwarisi Ahmad Zahid sebagai sekutu kuat beliau,” katanya.

Beliau juga tidak melihat Hishammuddin berpeluang mencabar pengaruh Ahmad Zahid yang dijangka disokong Najib, sekali pun bekas Ahli Parlimen Sembrong itu menjalinkan pakatan dengan pemimpin-pemimpin UMNO terdiri daripada kluster menteri.

“Saya difahamkan hanya 40 ketua bahagian sahaja menyokong Hishammuddin. Bahkan tindakan beliau mengabaikan parti sewaktu UMNO tenat pada pasca PRU14 memperlihatkan Hishammuddin seolah-olah tidak sayangkan parti.

“Pada saya, jalan keluar UMNO untuk menyelesaikan kemelut kepimpinan ada dua iaitu sama ada Ahmad Zahid sukarela meletak jawatan dan tidak campur tangan sewaktu proses pemilihan baharu.

“Ataupun, semua pemimpin UMNO kembali bersatu di bawah kepimpinan Ahmad Zahid dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada beliau, sekurang-kurangnya sehingga PRU15 berakhir,” katanya.