Kemudahan nuklear Iran sengaja disabotaj?

Satu letupan yang menyebabkan kerosakan besar berlaku di kemudahan nuklear di Natanz, Iran pada pagi Ahad lalu. - Foto AFP
Satu letupan yang menyebabkan kerosakan besar berlaku di kemudahan nuklear di Natanz, Iran pada pagi Ahad lalu. - Foto AFP
A
A
A

SATU letupan besar berlaku di sebuah kemudahan nuklear di Natanz, Iran pada pagi Ahad lalu sehari selepas satu letupan kecil terjadi sehari sebelumnya di loji yang membekalkan tenaga elektrik kepada rakyatnya itu.

Berikutan kejadian itu, bekalan eletrik terputus dan beberapa peralatan mengalami kerosakan di kemudahan tersebut yang terletak lebih 200 kilometer ke selatan ibu negara tersebut, Teheran.

Kejadian itu juga berlaku sehari selepas Presiden Iran, Hassan Rouhani merasmikan sentrifugal baharu di kemudahan berkenaan dalam satu majlis yang disiarkan secara langsung di televisyen.

Sentrifugal ialah bahan yang diperlukan untuk menghasilkan uranium yang diperkaya dan ia boleh digunakan bagi membina senjata nuklear.

Kemudahan Natanz itu terletak di sebuah gurun di wilayah Isfahan dan ia merupakan pusat program pengayaan uranium negara tersebut manakala aktiviti-aktiviti di kemudahan berkenaan dipantau oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ribuan mesin yang digunakan untuk menapis bahan-bahan nuklear didakwa mengalami kerosakan dan musnah ketika serangan berkenaan berlaku pada kedalaman 50 meter di bawah tanah, kata seorang pegawai.

Ekoran serangan itu, Menteri Luar Iran, Mohammed Javad Zarid pada Isnin lalu berkata, Israel menjadi dalang apabila melakukan sabotaj dengan melancarkan serangan di kemudahan nuklear tersebut.

Serangan itu didakwa dilakukan berikutan terdapat perkembangan dalam satu perjanjian nuklear yang ditandatangani pada tahun 2015 antara Teheran dengan kuasa-kuasa besar untuk menarik balik sekatan yang dikenakan ke atas negara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Hassan Rouhani (dua dari kanan) mendengar taklimat daripada Ali Akbar mengenai pembangunan tenaga nuklear Iran di Teheran.
Hassan Rouhani (dua dari kanan) mendengar taklimat daripada Ali Akbar mengenai pembangunan tenaga nuklear Iran di Teheran.

Pertubuhan Tenaga Atom Iran yang diketuai oleh Ali Akbar Salehi kemudian menggambarkan letupan tersebut sebagai satu keganasan nuklear.

Dalam pada itu, sebuah stesen penyiaran awam Israel, Kan baru-baru ini memetik sumber perisikan yang tidak didedahkan menyatakan bahawa bekalan elektrik yang terputus di kemudahan berkenaan adalah hasil daripada operasi siber rejim Zionis.

Akhbar Yahudi, Haatetz turut melaporkan bahawa kejadian berkenaan mungkin dianggap sebagai satu serangan siber.

Menurut portal berita BBC, seorang penganalisis pertahanan di laman web Ynet iaitu Ron Ben-Yishai berkata, adalah munasabah untuk menyatakan Iran sedang melakukan kemajuan dalam menghasilkan senjata nuklear yang menyebabkan serangan tersebut berlaku.

Justeru, Ben Yinshai menyatakan ia mungkin bukan disebabkan oleh satu kemalangan tetapi akibat satu tindakan sabotaj yang sengaja dilakukan untuk memperlahankan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) bagi menarik semula sekatan ke atas Iran kerana isu-isu nuklear.

Menurut AFP, rundingan itu melibatkan negara-negara Iran, China, Rusia, Jerman, United Kingdom dan Perancis termasuk Kesatuan Eropah.

Bagaimanapun, Iran dilaporkan berikrar akan membalas dendam terhadap Israel yang didakwa melakukan serangan di kemudahan nuklear tersebut.

Pasukan rundingan Iran dilaporkan menerima arahan daripada Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei supaya tidak mengadakan perbincangan secara bersemuka dengan AS di Vienna, Austria.

AS pula menafikan ia terlibat dalam kejadian letupan di kemudahan nuklear Iran itu.

Kemudahan nuklear Iran terletak di sebuah kawasan gurun di Natanz kira-kira lebih 200 kilometer ke selatan teheran. - Foto AFP
Kemudahan nuklear Iran terletak di sebuah kawasan gurun di Natanz kira-kira lebih 200 kilometer ke selatan teheran. - Foto AFP

Pusat kemudahan nuklear itu sebelum ini pernah menjadi sasaran serangan virus komputer.

Lebih sedekad lalu, sejenis virus komputer dikenali sebagai Stuxet yang dicipta untuk menyerang kemudahan nuklear Iran ditemui di kemudahan Natanz dan ia dipercayai dicipta oleh Israel dan AS.

Pada Julai tahun lalu, satu letupan dan kebakaran besar berlaku di kemudahan nuklear bawah tanah Natanz itu hingga menyebabkan Iran mengaku berlakunya satu kerosakan serius walaupun tiada laporan tentang kecederaan atau pencemaran alam sekitar.

Ketika itu, akhbar New York Times melaporkan seorang pegawai perisikan Israel menyatakan bahawa kejadian tersebut disebabkan oleh letupan bom yang dilakukan oleh rejim Zioinis.

Buat masa ini, Israel masih enggan membuat sebarang kenyataan rasmi atau mengaku bertanggungjawab melakukan serangan terbaharu di Natanz dan ia juga terjadi selepas Iran menafikan ia berusaha untuk menghasilkan senjata nuklear. - Agensi