Ungkapan kecinaan cetus perdebatan

No Image Caption
A
A
A

ADA sesuatu yang menarik sedang berlaku dalam DAP buat masa ini.

Ia melibatkan perdebatan antara taiko DAP yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu dengan beberapa pemimpin muda seperti Hannah Yeoh dan Tony Pua.

Hannah ialah Ahli Parlimen Segambut, manakala Tony ialah Ahli Parlimen Damansara.

Hendak dijadikan cerita, kesemua mereka ialah orang kuat DAP Selangor. Pemilihan pucuk pimpinan DAP Selangor akan berlangsung pada Jun ini.

Jadi dengan mudah ramai yang mengaitkan isu sedang diperdebatkan itu ada kaitan dengan pemilihan DAP Selangor tidak lama lagi.

Perdebatan mereka adalah berkisar penggunaan ungkapan “kecinaan” oleh Ronnie.

Ronnie dipetik sebagai berkata, DAP mestilah mengekalkan ciri-ciri kecinaannya kerana parti itu membesar dengan sokongan padu masyarakat Cina.

Kata-katanya itu kemudian mendapat reaksi negatif daripada Tony Pua dan Hannah yang melabelkan kenyataan tersebut sebagai berfikiran sempit dan toksik.

Artikel Berkaitan:

Ronnie kemudian menegaskan yang kenyataan asalnya itu dipetik secara rambang oleh mereka yang lemah dalam bahasa Mandarin. Malah beliau melabelkan Hannah sebagai seorang yang tidak matang.

Dalam reaksi kepada wartawan The Star, Ronnie menegaskan apa yang beliau sebenarnya maksudkan ialah, jika DAP ingin membawa masuk lebih ramai ahli daripada kalangan masyarakat Melayu, ia boleh saja diteruskan tetapi jangan lakukannya dengan menghakis sifat-sifat kecinaan yang sedia ada dalam DAP.

Katanya, jika sifat-sifat kecinaan dalam DAP terhakis, ia samalah seperti tidak menghormati asas sokongan tradisional DAP yang bermula daripada masyarakat Cina.

Walaupun berpandangan demikian, Ronnie menegaskan, ini bukanlah bermakna yang dirinya seorang cauvanis Cina.

“Saya tidak pernah walau sekali pun berkata yang ciri-ciri kecinaan dalam DAP perlu dikekalkan,” ujarnya.

Hannah dalam reaksinya kepada kenyataan Liu menegaskan yang beliau menyertai DAP kerana percaya parti itu mempertahankan hak semua rakyat Malaysia.

“Sebab itulah saya tidak setuju dengan kenyataan (Ronnie) itu,” ujarnya.

Tonny pula berpandangan, melangkah ke hadapan, DAP mestilah mencerminkan sebuah parti untuk semua rakyat Malaysia bukan sekadar menjadi juara kepada satu-satu kaum sahaja. “DAP telah melakukan banyak perubahan dalam mengetengahkan dirinya sebagai parti untuk semua kaum tetapi Ronnie mahu parti ini kembali ke belakang hanya untuk mempertahankan ciri-ciri kecinaan yang ada pada DAP,” tegasnya.

Setiausaha Kerja Kebangsaan DAP, Anthony Loke dipetik oleh akhbar The Star sebagai berkata bahawa kata-kata ‘kecinaan’ oleh Ronnie tidak dapat dinafikan telah mencetuskan polemik dalaman dan juga menarik perhatian umum ke atas parti itu.

“Perdebatan mengenai isu tersebut membuktikan DAP sedang melalui proses transfomasi dalaman dan sudah tentulah akan ada pandangan yang berbeza,” Anthony Loke dipetik sebagai berkata.

Tetapi, katanya, sebagai pemimpin, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk meyakinkan ahli-ahli, arah tuju dan masa depan parti dan selepas itu terserahlah kepada ahli-ahli untuk menentukan masa depan DAP.

Walaupun DAP kini menjadi semakin pelbagai kaum dengan lebih ramai generasi muda Melayu diletakkan sebagai wakil rakyat, tetapi ia dibina atas dasar memperjuangkan kepentingan dan isu-isu berkaitan kaum Cina.

Ini adalah kerana, sistem politik di Malaysia secara sejarahnya didominasi oleh parti-parti politik berasaskan kaum seperti UMNO untuk memperjuang dan mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam.

Begitu juga dengan Pas, manakala MCA dan MIC masing-masing mahu mempertahankan isu kaum Cina dan India.

Begitu juga di Sabah dan Sarawak, banyak parti politik diasaskan atas nama etnik dan masyarakat setempat.

Situasinya sama dengan sistem pendidikan negara yang membenarkan kewujudan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan dan akhirnya produk yang kita perolehi hasil daripada sistem ini adalah jurang yang semakin jauh antara kaum.

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian