Udang kara hasil ternakan anak muda

Juwairiya (kanan) melihat hasil ternakan udang kara air tawar yang diusahakan lima anak muda di Jeram Lobster Farm.
A
A

KUALA SELANGOR – Sokongan wakil rakyat setempat penting bagi membantu mengembangkan lagi perusahaan anak muda di daerah ini sekali gus menjadi ikonik perusahaan yang boleh dicontohi.

ADUN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, perusahaan anak muda yang membawa nama Jeram Lobster Farm ini wajar dicontohi kerana membuka peluang pekerjaan kepada anak muda.

“Saya berpeluang untuk melihat sendiri perusahaan udang kara air tawar yang diusahakan lima anak muda yang diketuai Tengku Azizul di bawah Koperasi Belia Milenia.

“Kagum dengan kesungguhan mereka mengusahakan 14 kolam ternakan udang kara air tawar ini dalam kawasan tapak seluas 0.2 hektar sejak setahun lalu,” katanya.

Katanya, pihaknya difahamkan perusahaan seumpama itu adalah yang pertama di Kuala Selangor sekali gus membuktikan usahawan muda mampu mempelopori bidang yang jarang sekali disertai ini.

“Aktiviti penternakan udang kara air tawar ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada anak muda setempat bahkan membantu menjana ekonomi rakyat secara keseluruhannya.

“Dengan hasil anggaran 150 kilogram sebulan ini difahamkan dapat memenuhi permintaan pelanggan dari Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan kawasan tumpuan lain.

“Saya berharap perusahaan ini dapat dikembangkan lagi dan terus maju,” katanya selepas hadir merasmikan Jeram Lobster Farm itu bersama pemimpin kampung setempat.