Anak saksi pembunuhan ibu

Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
A
A
A
IPOH - [DIKEMAS KINI] Dua kanak-kanak lelaki menjadi saksi kematian ibu mereka dalam satu kejadian bunuh di sebuah rumah di Taman Perpaduan, Tambun di sini pada malam Rabu.

Dalam kejadian sekitar jam 8 malam itu, K Krishna, 31, ditemui meninggal dunia akibat cedera parah dipercayai ditikam seorang lelaki yang juga teman lelakinya yang menyerbu masuk ke rumah berkenaan.

Ketika kejadian, dua beradik berusia 8 dan 6 tahun terbabit turut berada dalam rumah itu, namun sempat berlari keluar meminta pertolongan jiran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, polis menerima panggilan kejadian itu daripada jiran mangsa yang memaklumkan berlaku pergaduhan antara mangsa dengan seorang lelaki.

Menurutnya, siasatan ke lokasi telah menemui seorang lelaki dan wanita dalam keadaan terbaring di ruang tengah rumah dengan berlumuran darah.

"Siasatan lanjut kemudiannya menemui beberapa kesan tikaman di bahagian dada dan badan kedua-dua mangsa. Wanita berkenaan telah disahkan meninggal dunia, sementara lelaki terbabit berada dalam keadaan kritikal.

"Polis juga menemui senjata pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian ini. Bagaimanapun belum dapat dipastikan sama ada kesan tikaman pada lelaki itu dilakukan individu lain atau sengaja mahu membunuh diri," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, lelaki berusia 23 tahun yang juga penganggur itu dilaporkan telah beberapa kali mengganggu mangsa dan pernah ditangkap polis sekitar pertengahan Mac lepas atas kesalahan menceroboh rumah mangsa.

Katanya, lelaki itu yang kini dirawat dalam zon merah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh akan ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Maklumat awal mengatakan ada saksi nampak mangsa telah ditikam menggunakan senjata pisau oleh lelaki terbabit. Kita akan memanggil saksi-saksi lain termasuk dua anak mangsa bagi membantu siasatan.

"Setakat ini kita andaikan kejadian berlaku mungkin disebabkan masalah hubungan antara pasangan kekasih," katanya.

Difahamkan, mangsa merupakan ibu tunggal dua anak dan bekerja di sebuah pusat jagaan warga emas di Pasir Puteh di sini.

Ketika kejadian, mangsa baru pulang bekerja dan sedang menyediakan makan malam sebelum secara tiba-tiba diserang teman lelakinya yang menceroboh masuk ke rumah berkenaan.