X

Kindly register in order to view this article
!

Zaidatul Husniah belum kibar bendera putih

Zaidatul Husniah
A
A

RATU pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli, kini berazam melayakkan diri ke Sukan SEA 2021 di Vietnam, akhir tahun ini setelah misi untuk membuat penampilan kedua pada Sukan Olimpik di Tokyo, Julai depan hampir mustahil.

Beliau berkata fokus utama ketika ini adalah membina semula kekuatan kakinya, menerusi program pemulihan di Institut Sukan Negara (ISN) selepas menjalani pembedahan di lulut kanan (ACL reconstruction and cartilage repair) untuk kali kedua pada awal tahun ini.

Jelas atlet berusia 27 tahun itu, beliau belum bersedia untuk mengibarkan bendera putih dalam dua acara pecut kegemarannya, 100 meter (m) dan 200m, selain teruja untuk tampil lebih baik selepas pulih daripada kecederaan.

“Saya belum terfikir untuk bersara, masih mahukan (beraksi) lagi. Cuma saya perlu kuatkan kaki dan tidak mahu terburu-buru untuk kembali berlatih, sebab takut kecederaan itu datang semula. Jurulatih juga cakap kuatkan kaki dulu sebelum datang kepadanya.

“Untuk Sukan SEA akan datang, secara jujur saya akan cuba (layak) juga tetapi apa-apa pun ia bergantung pada proses pemulihan, di mana tempoh masa untuk sembuh sepenuhnya antara enam hingga sembilan bulan,” katanya.

Pada 2019, Zaidatul Husniah merekod kepantasan peribadi terbaik 11.65 saat (s) dan pernah menggegar arena olahraga dengan catatan 11.35s pada 2017 untuk memecahkan rekod kebangsaan 11.50s dilakukan G. Shanti, namun tidak diiktiraf Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) susulan isu teknikal.

Mengulas mengenai tempoh proses pemulihan yang panjang berbanding biasa, Zaidatul Husniah berkata masa sembilan bulan itu ditetapkan beliau sendiri, selepas proses tersebut terganggu selama dua bulan susulan kekangan dihadapi susulan pandemik COVID-19.

Justeru, beliau mengakui berdepan tugas sukar untuk kembali mencapai prestasi terbaiknya menjelang Sukan SEA yang dijadual berlangsung pada November, memandangkan selain kehilangan kekuatan kaki, beliau juga kehilangan jisim otot.

“Sama ada saya akan berlatih dengan Miller (Dwayne Miller) itu tidak dapat dipastikan, saya juga tidak tahu apa program untuk saya akan datang,” jelas pemenang pingat perak Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, itu.

Pada edisi Sukan SEA 2019 di Filipina, Zaidatul Husniah gagal mempertahankan pingat perak dimenanginya, apabila sekadar menamatkan saingan final di tempat keenam daripada keseluruhan lapan peserta dengan catatan 11.84s.

Atlet berasal dari Kedah itu pernah membuat penampilan pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro dalam pusingan kelayakan 100m pecut wanita. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!