PKPD di empat lokaliti di Sabah, Pahang mulai Khamis

Anggota Rela mengawal sepanjang perkampungan Maruntum Putatan berikutan tindakan Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung itu sejak kelmarin. Foto Bernama
Anggota Rela mengawal sepanjang perkampungan Maruntum Putatan berikutan tindakan Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung itu sejak kelmarin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan selama dua minggu di empat lokaliti iaitu di Sabah dan Pahang bermula Khamis.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia akan dikuatkuasakan di Kampung Tanjung Batu Keramat, Kota Belud, Sabah dan di tiga lokaliti di Pahang iaitu Ladang Leepang, Ladang Laukin dan Kampung Inoi di Muadzam Shah sehingga 28 April depan.

Beliau berkata, keputusan itu diambil kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Rabu melaporkan peningkatan kes Covid-19 di kedua-dua kampung tersebut.

"Sehingga Selasa, KKM mengesahkan sebanyak 17 kes positif telah direkodkan di Kampung Tanjung Keramat hasil daripada 25 ujian saringan ke atas penduduk lokaliti tersebut.

"KKM juga memaklumkan berlaku peningkatan kes di lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi serta masih terdapat empat lagi sampel ujian sedang menunggu keputusan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, KKM turut melaporkan berlaku kes Covid-19 di Ladang Leepang, Ladang Laukin dan Kampung Inoi.

Sehingga kini, katanya, sebanyak 39 ujian saringan dilakukan dan daripada jumlah itu, secara kumulatifnya sebanyak 25 kes positif Covid-19 direkodkan.

"KKM juga memaklumkan berlaku peningkatan kes secara kes mendadak dalam tempoh seminggu serta kadar kebolehjangkitan adalah tinggi di ketiga-tiga lokaliti ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, susulan itu PKPD dikuatkuasakan untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes disyaki Covid-19 serta kontak rapat supaya dapat diasingkan secepat mungkin, selain menyekat penularan jangkitan dari kawasan berisiko ke kawasan lain di luar lokaliti tersebut.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Kampung Juara, Pulau Tioman, Rompin, Pahang ditamatkan pada Khamis iaitu lebih awal daripada tarikh dijadual tamat pada 20 April depan.

Jelas beliau, sebanyak 470 ujian saringan telah dijalankan di kawasan itu dan daripada jumlah itu secara kumulatifnya sebanyak 54 kes positif Covid-19 dilaporkan.

"KKM juga mengesahkan semua sampel sudah diambil, kontak dikenal pasti dan diasingkan, manakala kes terakhir dilaporkan ialah pada 3 April lalu iaitu sebanyak lapan kes," katanya.