Menteri bimbang tahap pematuhan SOP di bazar Ramadan

Nanta melawat ke gerai-gerai jualan makanan semasa tinjauan di Tapak Bazar Ramadan Presint 3 Putrajaya hari ini. Foto Bernama
Nanta melawat ke gerai-gerai jualan makanan semasa tinjauan di Tapak Bazar Ramadan Presint 3 Putrajaya hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang Menteri Kabinet bimbang dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan di Presint 3 di sini apabila melihat sendiri kebanjiran pengunjung ketika beliau hadir untuk melancarkan program kementeriannya di bazar berkenaan pada Rabu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang tiba di tapak bazar Ramadan berkenaan pada kira-kira 6 petang untuk melancarkan Ops Pantau berkata, beliau kurang puas hati dengan pematuhan SOP yang dipamerkan pengunjung yang ramai di bazar itu.

“Saya baru sampai sini tapi nampaknya ramai orang dah sesak. Ada yang berdiri tunggu masuk juga, sesak macam tak berapa ada SOP. Saya kurang puas hati, tapi kita harap selepas ini lebih ramai akan patuh SOP,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di bazar itu untuk melancarkan Ops Pantau.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terdahulu berkunjung ke bazar Ramadan itu pada kira-kira 5 petang bagi meninjau keadaan peniaga dan kepatuhan orang ramai kepada SOP serta membeli juadah berbuka puasa.

Semasa kunjungan Muhyiddin itu, pengunjung tidak begitu ramai dan para pengunjung juga dilihat menjaga penjarakan.

Mengenai Ops Pantau, Nanta berkata, ia bertujuan membuat pemeriksaan dan pemantauan ke atas harga dan bekalan barangan pada bulan Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri.

“Ia akan dilaksanakan secara seragam dan berfokus di seluruh negara dengan lokasi tumpuan seperti bazar Ramadan, pasar awam dan pasar basah, hypermarket serta kedai runcit sepanjang musim perayaan ini.

“Ops Pantau juga akan menumpukan pemeriksaan berkaitan jualan murah, penjualan barangan tiruan, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Nanta berkata, penguatkuasaan itu juga bertujuan memastikan rakyat mudah mendapatkan bekalan makanan dan keperluan harian pada harga berpatutan.

Mengenai laporan harga ayam yang naik mendadak, Nanta berkata, pihaknya mendapati memang terdapat kenaikan harga sedikit, namun masih dalam kawalan.

Media pada Rabu melaporkan harga ayam naik mendadak buat masa ini dengan harga RM9.50 sekilogram (kg) berbanding RM8 kg sebelum Ramadan.

Nanta turut menyarankan pengguna dan peniaga untuk mengajukan aduan rasmi kepada KPDNHEP sekiranya mendapati ada harga barangan yang naik mendadak. - Bernama