X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD di empat buah kampung bermula

Antara pos kawalan yang dibuka sempena PKPD di empat buah kampung sekitar daerah Temerloh bermula Rabu hingga 27 April ini. -Foto ihsan polis.
A
A

TEMERLOH - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh melakukan sekatan jalan raya (SJR) dan penutupan jalan selain pos kawalan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat buah kampung di daerah ini bermula jam 4 petang pada Rabu.

Empat kampung yang dikenakan PKPD bermula jam 4 petang, Rabu hingga 11.59 malam, 27 April di Kampung Paya Pulai Tengah, Kampung Pulau Terap, Kampung Batu 4 dan Kampung Batu 5, Jalan Temerloh-Maran.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, seramai 221 buah rumah melibatkan 900 penduduk terbabit dalam PKPD tersebut.

Menurutnya, semua laluan keluar masuk ke kampung-kampung terlibat telah ditutup.

"Semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar daripada rumah masing-masing kecuali kebenaran bekerja hanya bagi perkhidmatan perlu seperti petugas kesihatan, keselamatan dan penyelamat serta yang menjalankan tugas rasmi kerajaan dengan surat pengesahan daripada majikan atau pas kerja sah serta mendapat kelulusan polis.

"Pengecualian hanya diberikan kepada seorang wakil dari setiap rumah untuk membeli barang keperluan di kedai runcit dalam kawasan PKPD," katanya pada Sinar Harian, Rabu.

Katanya, penduduk diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu terdapat tujuh buah kawasan berhampiran yang tidak dikenakan PKPD namun perlu melalui pos kawalan di kawasan terlibat.

"Tujuh kawasan terbabit iaitu Kampung Padang Lalang, Taman Gau Idaman,Taman Pulau Murni, Taman Pulau Idaman,Taman Paya Pulai Indah, Kampung Bachap dan Tanjung Besar.

"Penduduk di kawasan tersebut boleh melalui pos kawalan terbabit dengan kebenaran pihak polis," katanya.

Sebelum ini pada Selasa,Menteri Kanan (Keselamatan),Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD di empat buah kampung di daerah ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!