KPDNHEP akui peningkatan harga ayam

Alexander (baju putih) meninjau kepatuhan SOP peniaga di bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya.
Alexander (baju putih) meninjau kepatuhan SOP peniaga di bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengakui berlakunya peningkatan kenaikan harga ayam di pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagaimanapun berkata, kenaikan itu bukanlah seperti dilaporkan orang ramai yang mengatakan harga naik mendadak.

“Ada naik sedikit tapi masih dalam paras (kawalan),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Pantau di bazar Ramadan Presint 3, di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan harga ayam segar di beberapa negeri menunjukkan kenaikan antara 50 sen hingga RM1 menjelang Ramadan.

Tinjauan di Pasar Awam Sungai Besar, Selangor mendapati harga ayam naik kepada RM9 sekilogram berbanding RM8 sekilogram sejak sebulan lalu.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, pihaknya juga memohon agar orang ramai membuat aduan sekiranya berlakunya kenaikan harga barang.

ARTIKEL BERKAITAN: Harga ayam cecah RM9.50 sekilo

Beliau berkata, pihaknya akan mengarahkan penguat kuasa untuk turun padang sekiranya ada aduan dibuat oleh orang ramai.

Artikel Berkaitan:

“Tapi mereka tak kesan sebegitu rupa (kenaikan mendadak). Ada kenaikan dalam RM1 tapi masih dalam lingkungan (paras kawalan),” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP), Alexander menegaskan, beliau kurang berpuas hati terhadap tahap kepatuhan pengunjung dan peniaga bazar Ramadan di Presint 3.

“Saya baru sampai sini tapi nampaknya ramai orang dah sesak dan yang berdiri tunggu giliran masuk juga sesak macam tak berapa ada SOP,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai dan pengunjung yang mengunjungi bazar Ramadan mematuhi SOP

“Kita nasihatkan patuh kepada SOP. Kita tak nak jadi kluster kes baru,” tegasnya.