PKP di tujuh daerah di Kelantan mulai Jumaat

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memutuskan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu di tujuh daerah di Kelantan mulai Jumaat ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia membabitkan tujuh daerah di Kelantan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah.

Katanya, langkah itu diambil kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di negeri itu pada Rabu.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM serta selepas perbincangan dengan kerajaan negeri Kelantan, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di tujuh daerah itu bermula 16 hingga 29 April depan.

"Dengan pelaksanaan PKP ini, solat tarawih juga tidak dibenarkan kerana prosedur operasi standard (SOP) Am PKP tidak membenarkan semua aktiviti sosial termasuk aktiviti keagamaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, KKM mengesahkan berlaku peningkatan sebanyak 30.5 peratus kes di Kelantan dalam tempoh 14 hari.

"Kes naik daripada 756 kepada 1,088 dan kesemua tujuh daerah ini berada di dalam zon merah.

"Selain itu, terdapat juga sembilan kluster baharu telah dilaporkan dalam tempoh 14 hari dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru kata beliau, PKP dilaksanakan bagi memastikan pergerakan penduduk di lokaliti terlibat dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 ke kawasan lain.

Memperincikan lanjut tentang SOP di kawasan PKP, Ismail Sabri memberitahu, sekatan jalan raya akan diadakan di semua sempadan daerah dan sempadan negeri.

"Bagaimanapun, semua sektor ekonomi dan perniagaan yang diluluskan oleh kementerian atau agensi yang berkaitan boleh beroperasi dalam tempoh PKP.

"Pelaksanaan PKP daerah-daerah ini akan mengikut SOP Am PKP yang dikemaskini pada 26 Februari lalu," katanya.

Katanya, SOP lebih lanjut boleh dirujuk melalui laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN).