Najib ada kepentingan dalam SRC, kata pendakwaan

Najib Razak
Najib Razak
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Razak mempunyai kepentingan peribadi terhadap SRC International Sdn Bhd (SRC).

Ketika prosiding rayuan Najib untuk mengetepikan hukuman 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun lalu, Timbalan Pendakwa Raya ad hoc, Datuk V Sithambaram berkata, ia berdasarkan tindakan Najib yang membuat banyak keputusan berhubung SRC sebelum ini.

Pada prosiding yang memasuki hari ketujuh, Sithambaram berkata, ia dilihat menerusi dua mesyuarat kabinet yang membincangkan mengenai permohonan jaminan kerajaan atau 'government guarantee (GG)' Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) untuk pinjaman yang dipohon oleh SRC.

Menurutnya, bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Mazidah Abdul Majid yang juga saksi ke-40 pendakwaan dalam prosiding lalu juga menyatakan bahawa Najib secara peribadi terlibat dalam keputusan dua mesyuarat kabinet berkenaan.

Katanya, ia merujuk kepada mesyuarat untuk meluluskan jaminan kerajaan bagi KWAP pada 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

“Keputusan yang dibuat oleh Najib untuk mempengerusikan kedua-dua mesyuarat supaya memberi jaminan kerajaan kepada KWAP untuk pinjaman SRC menunjukkan wujud elemen penyalahgunaan kuasa.

“Kehadiran Najib dalam kedua-dua mesyuarat kabinet juga jelas menunjukkan kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Dalam pada itu, Sithambaram turut menyentuh mengenai permohonan pinjaman KWAP di mana persetujuan pinjaman menunjukkan Najib menulis 'Datuk Azian, bersetuju dengan cadangan ini'.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, surat itu kemudian diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Azian Mohd Noh, maka kelulusan pinjaman itu dirangka dan disetujui oleh Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Menurutnya, ia sebelum KWAP menyiasat mengenai keperluan atau kebaikan untuk meluluskan permohonan pinjaman SRC berkenaan.

Katanya, campur tangan Najib bagi kelulusan pinjaman berkenaan tidak menepati prosedur permohonan pinjaman yang dibuat terus ke KWAP.

Pada Selasa, pasukan pembelaan Najib menamatkan penghujahan mereka yang merujuk kepada soal mengapa bekas Perdana Menteri itu harus dibebaskan daripada hukuman yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun lepas.

Rayuan kes itu didengar oleh panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib setelah didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan melibatkan dana SRC International sebanyak RM42 juta.