Ziarah Finas buka ruang artis veteran sertai industri seni

Zakaria Abdul Hamid (dua, kiri) menyampaikan beberapa jenis sumbangan berupa keperluan harian kepada biduanita Datin Julie Sudiro pada Program Ziarah Finas Prihatin 3.0 Bersama Penggiat Industri Kreatif di kediaman biduanita itu di Wangsa Baiduri, Subang Jaya hari ini. -Foto Bernama
Zakaria Abdul Hamid (dua, kiri) menyampaikan beberapa jenis sumbangan berupa keperluan harian kepada biduanita Datin Julie Sudiro pada Program Ziarah Finas Prihatin 3.0 Bersama Penggiat Industri Kreatif di kediaman biduanita itu di Wangsa Baiduri, Subang Jaya hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program Ziarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Prihatin 3.0 membuka ruang kepada bintang veteran tanah air membuat kemunculan semula bagi memeriahkan kembali industri seni tanah air.

Pengerusinya Zakaria Abdul Hamid berkata, menerusi platfom itu penerbit berpeluang menghubungi ‘orang lama’ dalam industri yang menyepi dan terpinggir bagi menawarkan peluang berlakon serta menyanyi seperti pernah diceburi mereka sebelum ini.

"Program Finas Prihatin membuka ruang kepada artis veteran yang dilupakan. Selain daripada ziarah, ada juga artis yang diziarahi mendapat peluang untuk bergiat semula dalam bidang seni masing-masing,” katanya selepas Program Ziarah Finas Prihatin 3.0 bersama penggiat industri kreatif di sini hari ini.

Menerusi lawatan kali ini, tujuh penggiat seni veteran telah dilawati antaranya pelakon Datuk Rahim Razali dan Rozie Othman serta penyanyi veteran Datin Julie Sudiro dengan masing-masing menerima sumbangan wang tunai RM1,000 serta barangan keperluan asas.

Barangan keperluan asas itu disumbangkan oleh rakan strategik Finas iaitu CDERT Ohhsem Angkatan Pertahanan Awam, GISB Holdings, Yayasan Felda, Koperasi Al-Najah (KL) Berhad dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) serta Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM).

Sementara itu, Rahim yang pernah menjadi pengarah bagi filem seperti Abang, Tsue Feh Sofiah dan Anak Sarawak berkata meskipun mencecah usia 82 tahun, beliau masih lagi aktif dalam industri perfileman walaupun tawaran kini tidak sebanyak dulu.

"Saya akan terus aktif dalam bidang saya amat sukai iaitu perfileman, kebudayaan serta kesenian dan kalau dipanjangkan umur, saya menaruh harapan dan berniat untuk melahirkan satu lagi filem terakhir sebagai penulis serta pengarah sama ada tahun ini atau tahun hadapan," katanya.

Sementara itu, penyanyi lagu pop, keroncong dan Jazz handalan Julie turut menzahirkan penghargaan atas kunjungan serta sumbangan yang diterima kerana ia membuktikan masih ada yang mengingati beliau dan rakan seperjuangannya.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 50 penggiat seni veteran yang dilawati sepanjang Ziarah Finas 3.0 diadakan pada bulan Ramadan dengan jumlah dana sebanyak RM50,000.

Program itu bertujuan menyalurkan sumbangan dan penghargaan kepada penggiat industri kreatif terutama artis veteran yang mengalami masalah kesihatan, keuzuran dan terputus pendapatan akibat penularan Covid-19. - Bernama