Impian Dr Mahathir belum tertunai

DR MAHATHIR
DR MAHATHIR
A
A
A

PUTRAJAYA - Bagi Tun Dr Mahathir Mohamad, impiannya menjadikan perang sebagai suatu perlakuan jenayah kemanusiaan masih belum tertunai, tetapi dirinya yang sudah mencecah 95 tahun kini terhimpit dengan pelbagai perkara lain yang perlu diselesaikan terlebih dulu.

"Ketika saya Perdana Menteri buat kali kedua dulu, saya bekerja 18 jam sehari, malah sekarang pun saya ada banyak perkara yang difikirkan sebagai ketua parti baharu.

"Saya rasa perang ini primitif... nak selesaikan masalah, bunuh orang, mana boleh buat begitu," katanya kepada Bernama ketika sesi pertemuan selama 30 minit dengan Ratu Cantik Earth Malaysia, Dr Nisha Thayananthan di pejabatnya di Putrajaya pada Selasa.

Dr Mahathir yang dua kali mengisi kerusi Perdana Menteri, pertama sebagai peneraju Barisan Nasional selama 22 tahun dan kemudian menjadi pengerusi Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan selepas Pilihan Raya Umum 2018 berkata, Yayasan Jenayah Perang Kuala Lumpur yang ditubuhkan beliau masih wujud tetapi tiada siapa yang aktif.

Beliau sendiri merasakan tidak mampu meneruskan matlamatnya kerana terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan di pelbagai organisasi termasuk parti politiknya, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Ditanya apakah matlamatnya itu mampu dicapai jika beliau kembali berkuasa buat kali ketiga, Dr Mahathir menegaskan, beliau tidak berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga dan ketika ini lebih berminat menjadi penasihat dalam perkara tertentu.

"Jika saya muda, saya boleh menjadi Perdana Menteri lagi, tetapi saya sekarang sudah 95 tahun dan saya masih sihat dan harap dapat bagi nasihat mengenai apa yang patut mereka buat... lain daripada itu saya rasa, saya tidak perlu menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga," katanya.

Dilahirkan pada 10 Julai 1925, Dr Mahathir melakar rekod sebagai Perdana Menteri tertua di dunia apabila dipilih semula sebagai Perdana Menteri pada Mei 2018. - Bernama

Artikel Berkaitan: