Najib tidak pergi ke Switzerland untuk dapatkan kembali wang SRC

Najib tiba di mahkamah bagi pendengaran rayuannya terhadap sabitan dan hukuman berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International di Mahkamah Rayuan hari ini.
 - Foto Bernama
Najib tiba di mahkamah bagi pendengaran rayuannya terhadap sabitan dan hukuman berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International di Mahkamah Rayuan hari ini.
 - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Rabu mendengar bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pergi ke Switzerland untuk membawa balik dana milik SRC International Sdn Bhd yang dibekukan oleh kerajaan Switzerland kerana dikatakan terlibat dengan pengubahan wang haram.

Pendakwa ad hoc, Datuk V Sithambaram berkata, malah Najib tidak menyelesaikan perkara itu sehingga waktu beliau tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri.

"Perayu (Najib) tidak bertindak untuk pergi sendiri ke Switzerland bagi mendapatkan kembali dana itu untuk dibawa balik ke Malaysia. Yang Arif saya tidak jangka tindakan ini datangnya dari beliau, kerana ketika itu dia adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

"SRC 'diwujudkan’ Najib. Hanya dia pemilik saham dalam SRC tapi dia tidak membuat sebarang usaha untuk pergi ke Switzerland bagi menyelesaikan isu berkenaan,” katanya.

Beliau berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dalam prosiding rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Dua lagi hakim ialah Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Sithambaram berkata, bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberitahu bahawa Najib enggan membenarkan delegasi kerajaan untuk berlepas ke Switzerland bagi memberi penjelasan mengenai wang yang dibekukan oleh kerajaan negara itu.

"Motif keengganan pemohon (Najib) menimbulkan banyak persoalan. Wang (berjumlah RM3.6 bilion) adalah sebahagian daripada RM4 bilion pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC, ia dana pencen.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Najib dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata, beliau tidak memberi kebenaran kepada Ahmah Husni untuk pergi ke Switzerland kerana Ahmad Husni tidak mempunyai 'rancangan yang tersusun' bagi mendapatkan kembali dana itu dan dia juga tidak membuat sebarang permohonan rasmi mengenainya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram, dan salah guna kuasa melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pendengaran rayuan itu bersambung. - Bernama