X

Kindly register in order to view this article
!

Empat lelaki ditahan, 757 karton rokok dirampas

A
A

ALOR GAJAH - Empat lelaki berusia antara 22 hingga 42 tahun ditahan dalam tiga serbuan berasingan, hasil kerjasama masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan pengedaran rokok seludup di Alor Gajah dan Masjid Tanah pada Selasa.

Pegawai Pemerintah Batalion ke-6 Pasukan Gerakan Am (PGA6), Superintendan Rozasin Ramlan berkata, ia membabitkan 757 karton rokok seludup bernilai kira-kira RM309,496 termasuk cukai.

Beliau berkata, hasil maklumat awam, seorang lelaki ditahan kira-kira 10 pagi dalam serbuan pertama di hadapan rumah di Taman Mengkuang, Masjid Tanah dan merampas sebuah kereta jenis Honda City bersama 16,360 batang rokok dipercayai rokok seludup.

“Serbuan kedua pula dijalankan sepasukan anggota polis dari Cawangan Risik PGA6 kira-kira 11 pagi dan berjaya menangkap dua lelaki di lorong belakang kedai Taman Sri Jeram, Masjid Tanah dan merampas satu kereta jenis Honda Accord bersama 50,000 batang rokok.

“Susulan tangkapan itu membawa kepada penahanan seorang lagi suspek lelaki di Jeram Perdana dengan dipandu arah oleh salah seorang suspek, dan pihak kami berjaya merampas 80,308 batang rokok dipercayai diseludup,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Rozasin berkata, tangkapan dan rampasan itu kemudiannya diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah untuk diambil tindakan di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967, kerana memiliki rokok seludup.

“Pihak kita percaya, dengan tangkapan dan rampasan ini, berjaya memutuskan salah satu rangkaian sindiket pengedaran rokok seludup di sekitar Alor Gajah dan Masjid Tanah.

“Oleh itu, kita menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang agar dapat dibanteras dengan jayanya,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!