Kontraktor didakwa halang polis

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang kontraktor dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret Selayang di sini pada Rabu atas tiga pertuduhan iaitu menghalang penjawat awam, tidak berhenti semasa sekatan jalan raya dan menunggang motosikal secara melulu, minggu lepas.

Ahmad Yatimi Abdul Majid, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan dan Nur Hafizah Rajuni.

Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad Yatimi didakwa dengan niat telah menghalang penjawat awam iaitu Sarjan Muhammad Iqram Ahmad Shahril dalam menjalankan tugasnya di KM26, Plaza Tol Taman Rimba Templer arah Kuala Selangor pada 12.20 tengahari, 8 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa tidak mematuhi isyarat yang diberikan oleh anggota polis sama untuk memberhentikan motosikal ditungganginya sebelum tiba di sekatan jalan raya di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 26(2) Akta polis 1967 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 12 bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa telah menunggang kenderaan secara melulu dan membahayakan orang awam di Lebuhraya Latar, dekat sini pada masa sama mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu untuk sekurang-kurangnya dua tahun.

Bagi kesalahan menghalang penjawat awam, Nik Mohd Fadli membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin manakala bagi kesalahan tidak berhenti semasa sekatan jalan raya serta menunggang motosikal secara melulu, Nur Hafizah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,800 dan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Ini menjadikan keseluruhan jaminan dikenakan ke atas tertuduh adalah sebanyak RM9,100. Kedua-dua mahkamah menetapkan 10 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar dan Khairunnisak Hassni manakala tertuduh diwakili peguam Ainur Azalia Ayoub.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pegawai kanan polis berpangkat Inspektor cedera di bahagian kepala dan pinggang selepas dirempuh sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ yang cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan di Plaza Tol Templer arah barat. - Bernama