1,889 kes baharu positif Covid-19 hari ini

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kes baharu positif Covid-19 terus merekodkan peningkatan selepas 1,889 kes dilapor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Rabu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes 365,829 kes.

"Terdapat enam kes import dan 1,883 penularan dalam negara membabitkan 1,689 rakyat tempatan dan 194 warga asing," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, kes aktif di seluruh negara adalah 16,696.

"Pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi adalah 204 termasuk 79 memerlukan bantuan pernafasan.

"Sebanyak tujuh kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan membabitkan enam pesakit tempatan dan seorang warga asing di hospital di Selangor, Sarawak dan Sabah," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 1,485 kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 direkodkan.

"Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 347,780," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai penularan dalam negara, Dr Noor Hisham berkata, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 517 kes.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 379 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat kes positif Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

"Sarawak merekodkan 489 kes diikuti Kelantan (226), Sabah (142) dan Kuala Lumpur (139)," katanya.

Menurutnya, Pulau Pinang melaporkan 92 kes, Johor (84), Perak (56), Kedah (53) dan Negeri Sembilan (51) serta Terengganu (14).

"Putrajaya (lapan), Melaka (enam), Perlis (tiga) dan Labuan (satu)," katanya.

Katanya, terdapat tujuh kluster baharu dikenalpasti menjadikan jumlah keseluruhan kluster 1,485.

"Jumlah kluster yang telah diisytiharkan tamat adalah 1,144 manakala 341 lagi adalah kluster aktif," katanya.