X

Kindly register in order to view this article
!

Kedah tarik balik kebenaran tarawih di masjid jika gagal patuhi SOP

Kerajaan negeri Kedah akan menarik balik kebenaran menunaikan solat tarawih di masjid dan surau di negeri ini jika jemaah gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah akan menarik balik kebenaran menunaikan solat tarawih di masjid dan surau di negeri ini jika jemaah gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Exco Agama, Datuk Najmi Ahmad berkata, jemaah dan pengurusan masjid perlu memastikan SOP mengekang penularan Covid-19 dipatuhi kerana tahun ini umat Islam berpeluang menunaikan solat tarawih di masjid.

Menurutnya, masjid atau surau yang tidak mematuhi panduan ‘Pelaksanaan Aktiviti Keagamaan Di Masjid dan Surau di Bulan Ramadan’ dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), boleh dikenakan tindakan termasuk menarik balik kebenaran melaksanakan aktiviti keagamaan serta-merta.

“Panduan berkenaan telah diedarkan kepada semua institusi masjid dan surau pada 31 Mac lepas untuk rujukan.

"Saya harap semua pihak memainkan peranan bagi mengekang penularan Covid-19 ketika beribadah,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Najmi turut meminta imam mengingatkan jemaah ketika menyampaikan taklimat ringkas sebelum memulakan solat tarawih supaya memastikan tidak berlaku sentuhan dan ada penjarakan mengikut keluasan masjid

Menurutnya, JHEAIK turut mengeluarkan peraturan mengikut zon di kawasan tertentu, meliputi zon hijau, kuning serta merah.

"Di zon merah, kita tidak membenarkan solat tarawih berjemaah di masjid seperti peraturan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Pengurusan masjid perlu memantau pergerakan jemaah supaya tidak melanggar SOP,” katanya.

Menurutnya, Kedah menetapkan majlis berbuka puasa, moreh dan bersahur di masjid sepanjang Ramadan dibolehkan dengan mengikuti SOP ketat.

“Ia berdasarkan laporan pematuhan arahan pelaksanaan aktiviti keagamaan di masjid yang baik dan tinggi serta kadar kes aktif Covid-19 yang terkawal di negeri ini.

Bagaimanapun pihak berkuasa berhak menentukan larangan lebih ketat terhadap mana-mana masjid dan surau di zon merah dari masa ke masa. Sekiranya berlaku kekeliruan, rujuk Pegawai Agama Daerah untuk kepastian,” katanya.

Berdasarkan SOP dikeluarkan sebelum ini, solat tarawih dibenarkan mengikut kapasiti keseluruhan masjid dan surau dengan mematuhi protokol kesihatan dan penjarakan fizikal minimum satu meter.

Program tadarus al-Quran dan qiamullail turut dibenarkan, dengan mematuhi SOP yang sama.

Jamuan hanya dibenarkan secara bufet dan dihidangkan di ruangan khas namun digalakkan menyediakan makanan siap bungkus kepada jemaah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!