Penganjur kesal persepsi buruk terhadap bazar Ramadan

Seorang warganet turut memberi pendapat berhubung gambar tular kesesakan pengunjung di pasar Ramadan Taman Rambai Jaya, Melaka pada Selasa.
Seorang warganet turut memberi pendapat berhubung gambar tular kesesakan pengunjung di pasar Ramadan Taman Rambai Jaya, Melaka pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Penganjur Bazar Ramadan Taman Rambai Jaya di sini terkilan dan kesal apabila gambar kesesakan pengunjung yang didakwa berlaku di bazar Ramadan berkenaan tular sejak hari pertama puasa pada Selasa.

Penganjurnya, Ismail Adnan berkata, lebih 100 tapak berniaga disediakan di lokasi berkenaan bagi memberi peluang terutama peniaga Melayu yang terkesan akibat pandemik Covid-19 meraih pendapatan sepanjang bulan ini.

Setakat ini, katanya, terdapat seramai 101 peniaga dan pihak pengurusannya juga tidak ketinggalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk menyediakan aplikasi MySejahtera, mengambil suhu dan menyediakan cecair pembasmi kuman.

Bagaimanapun, katanya, kebetulan Melaka adalah hari cuti umum pada Selasa dan ramai yang mengambil peluang berkunjung ke bazar Ramadan yang berusia lebih 20 tahun itu.

"Saya terkilan dan percaya ada pihak yang cuba memfitnah dengan memberikan persepsi tidak baik kepada peniaga dan pengurusan bazar Ramadan ini.

"Sedangkan inilah yang dinantikan peniaga untuk meraih pendapatan. Kasihani mereka, malah kita memang patuh SOP namun tak sangka yang negatif berlaku," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Jelas beliau, bagi menggelak situasi sesak berulang lagi, pihaknya akan memperkenalkan sistem berkupon pada petang Rabu dengan mengehadkan hanya seramai 150 pengunjung sahaja dibenarkan berada di kawasan bazar Ramadan itu dalam satu masa.

"Kita juga telah meminta bantuan Ketua Balai Polis Tanjung Minyak untuk membantu melancarkan pergerakan orang ramai di bazar ini agar pengunjung mematuhi penjarakan fizikal.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap pengunjung yang budiman tolonglah patuhi SOP dan bantulah peniaga yang baru sehari mencari rezeki di sini," katanya.

Sejak Selasa, tular beberapa gambar keadaan bersesak di bazar Ramadan di Taman Rambai Jaya.

Bagaimanapun, seorang warganet menggunakan nama Nurwati Hussin turut meluahkan rasa kasihan agar bazar Ramadan yang merupakan tempat peniaga mencari wang tidak ditularkan.

"Tempat yang kita nampak ini tempat orang cari rezeki. Peniaga cari wang nafkah diri dan keluarga dengan modal yang besar.

"Kalau kau nampak gambar begini, janganlah dikecam. Kau nasihatlah kekawan kau jaga SOP. Hentam sebab tak jaga SOP, bukan mempertikai pasal bazar.Kerajaan dah bagi izin, janganlah mengadu domba, kerajaan tarik balik, kesian kat peniaga," tulisnya.