Maahad Ahmadi bentuk pelajar menjadi insan rabbani

Maahad Ahmadi di Tanah Merah kini mempunyai seramai 1,000 pelajar dan 70 kakitangan. (Gambar kecil: Mohd Kamal Sapian)
Maahad Ahmadi di Tanah Merah kini mempunyai seramai 1,000 pelajar dan 70 kakitangan. (Gambar kecil: Mohd Kamal Sapian)
A
A
A

TANAH MERAH - Kecemerlangan akademik dan keunggulan sahsiah pelajar yang dilahirkan Maahad Ahmadi di sini menjadikan sekolah berkenaan antara pilihan utama sejak tahun 1982.

Pengetuanya, Mohd Kamal Sapian berkata, sekolah berkenaan bukan sahaja menjadi pilihan ibu bapa di Kelantan, malah dari negeri-negeri lain untuk memastikan anak-anak mereka mendalami ilmu agama dan pendidikan selari dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Yayasan Islam Kelantan (YIK).

“Maahad Ahmadi merupakan sebuah pusat pendidikan peringkat menengah yang ditubuhkan sejak tahun 1982 bagi melahirkan insan rabbani iaitu beriman, berakhlak mulia, berilmu pengetahuan, beramal soleh, bertanggungjawab dan layak berkhidmat untuk membangunkan keluarga, masyarakat, negara serta ummah,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, antara misi utama Maahad Ahmadi yang kini mempunyai seramai 1,000 pelajar dan 70 kakitangan adalah menjadi peneraju kecemerlangan pendidikan Islam dan bahasa Arab serta menjadi sekolah pilihan utama (Afdhal Ikhtiar) menjelang tahun 2025.

Ujarnya, Maahad Ahmadi mengguna pakai konsep integrasi antara bidang agama dan akademik mengikut kurikulum KPM dan YIK bermula dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam yang turut menyediakan aliran Sains tulen.

”Sekolah ini juga pernah menerima beberapa anugerah kecemerlangan di peringkat negeri dan kebangsaan dalam bidang kurikulum dan kokurikulum. Pihak YIK juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk membangunkan sebuah bangunan asrama yang kini dalam proses pembinaan.

”Pihak sekolah juga merancang untuk membina beberapa lot kedai di atas tanah milik sekolah yang terletak di tepi jalan utama sebagai aset kekal bagi pengurusan sekolah," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian ke akaun 0305-401002-6394 (Bank Islam) atas nama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maahad Ahmadi.

Artikel Berkaitan:

”Untuk sebarang pertanyaan dan keterangan lanjut boleh hubungi saya di talian 017-9126023 atau Penolong Kanan Pentadbiran di talian 019-9393537. Boleh juga berhubung terus dengan pejabat di talian 09- 9502270,” jelas beliau.