Batal operasi bazar Ramadan jika tidak patuh SOP

Syahrul Nizam (kiri) ketika berbincang sesuatu dengan anggota penguat kuasa MPJL.
Syahrul Nizam (kiri) ketika berbincang sesuatu dengan anggota penguat kuasa MPJL.
A
A
A

JEMPOL - Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Jempol boleh membatalkan mana-mana operasi bazar Ramadan di daerah ini sekiranya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tidak memuaskan.

Pengerusinya, Syahrul Nizam Saleh berkata, tindakan itu diambil bukan sahaja disebabkan tidak patuh SOP tetapi juga melibatkan kes Covid-19.

"Penutupan mana-mana operasi bazar Ramadan sebagai langkah pencegahan sekiranya ada kes dan kegagalan mematuhi SOP.

"Justeru, pemantauan lebih ketat selain beberapa prosedur perlu ditambah baik serta-merta oleh pihak penganjur. Tanpa kompromi, saya akan bawa usul untuk batalkan bazar Ramadan yang didapati gagal mematuhi SOP ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan supaya penganjur bazar Ramadan di daerah ini menambah kawalan keselamatan bagi tujuan pemantauan SOP selepas terdapat segelintir orang ramai gagal mematuhi prosedur berkenaan.

"Hasil tinjauan di bazar Ramadan di sini pada hari pertama (Selasa) masih terdapat segelintir orang ramai yang gagal mematuhi SOP.

"Bersesak-sesak di gerai tanpa penjarakan fizikal serta tidak menggunakan laluan masuk dan keluar antara SOP yang gagal dipatuhi orang ramai.

"Justeru kawalan keselamatan perlu dipertingkatkan bagi tujuan pemantauan SOP selain bilangan orang ramai ke bazar Ramadan akan dihadkan pada satu-satu masa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol (MPJL), Raja Norazli Raja Nordin berkata, terdapat tiga lokasi bazar anjuran pihaknya dan diuruskan oleh persatuan peniaga.