Daftar vaksin rendah di pedalaman: MB Negeri Sembilan

Aminuddin (tengah) pada sidang media di Wisma Negeri pada Rabu.
Aminuddin (tengah) pada sidang media di Wisma Negeri pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Kawasan pedalaman di daerah Jelebu, Jempol dan Kuala Pilah termasuk perkampungan orang asli mencatatkan jumlah pendaftaran vaksin Covid-19 terendah di Negeri Sembilan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kawasan terlibat itu menghadapi masalah capaian internet yang lemah sehingga menyukarkan mereka untuk mendaftar pengambilan vaksin Covid-19 melalui MySejahtera.

"Bagaimanapun kita sudah maklumkan perkara ini kepada pegawai daerah, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk ambil tindakan segera bagi memastikan seluruh rakyat di kawasan berkenaan mendaftar untuk pengambilan vaksin.

"Selain itu kita juga sudah berbincang dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (Jakoa) untuk mengadakan pasukan bergerak di setiap penempatan penduduk yang jauh dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV), bagi memudahkan urusan program imunisasi,," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri dekat sini pada Rabu.

Tambahnya, setakat ini sebanyak 42.5 peratus atau 361,085 rakyat di Negeri Sembilan sudah mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19.

Katanya, semua penerima vaksin Covid-19 diingatkan supaya mematuhi janji temu ditetapkan dan berdisplin dengan mengikut jadual bagi memudahkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjalan lancar.

Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan bermula 19 April menyasarkan golongan berisiko seperti warga emas, individu mempunyai sejarah penyakit (komorbiditi) dan orang kurang upaya.

Artikel Berkaitan: