Segera kawal sumber perikanan di perairan negara: CAP

Mohideen Abdul Kader
Mohideen Abdul Kader
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) mempertingkatkan usaha bagi mencegah aktiviti pencerobohan nelayan asing di perairan negara ini.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihak berkuasa berkenaan perlu mengambil tindakan segera bagi mengawal sumber perikanan di perairan Malaysia dicuri oleh nelayan asing.

Menurutnya, selain itu, ia juga untuk meningkatkan hasil pendapatan nelayan tempatan serta mengekalkan sumber hasil laut untuk keperluan rakyat secara keseluruhannya.

"Kita bimbang dengan isu ini tambahan pula ia baru dilaporkan dalam akhbar mengatakan RM4.25 bilion hasil laut negara dirompak nelayan asing. Jika dibiarkan, ia boleh menjejaskan ekonomi negara dan menggugat sektor perikanan pada masa akan datang.

"Jabatan Perikanan Malaysia mengesahkan perbuatan nelayan asing menceroboh dan merompak hasil laut negara kini berada pada tahap kritikal. Nilai kehilangan sumber perikanan negara diperoleh berdasarkan kaji selidik yang dilakukan terhadap tangkapan kapal nelayan asing dan hasil rampasan dari bot mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohideen berkata, pihaknya kesal kerana permasalahan itu sudah lama berlaku namun ia gagal ditangani dengan berkesan sehingga kini.

"Sebelum ini, CAP kerap menggesa agar tindakan diambil namun tiada yang berkesan sehingga ke hari ini. Kita juga mendesak bot nelayan asing terlibat dan peralatan mereka dirampas serta dimusnahkan.

"Jika mengikut undang-undang, bot dan kapal asing yang menceroboh perairan negara boleh didakwa mengikut Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta bagi setiap pemilik bot dan denda RM100,000 bagi setiap anak kapal jika disabitkan kesalahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, CAP menggesa Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) segera menyiasat punca berlakunya kenaikan harga ikan seperti dilaporkan baru-baru ini.

Mohideen berkata, peranan orang tengah perlu diberi perhatian serius dan ditangani segera agar harga ikan tidak menjadi terlalu mahal dan membebankan pengguna.

"Harga ikan kembung atau ikan rakyat dijual antara RM22 hingga RM25 sekilogram berbanding RM20 hingga RM23 sekilogram sebelum ini manakala kerisi RM15 hingga RM18 sekilogram berbanding RM12 hingga RM15.

"CAP percaya jika tindakan tegas tidak diambil terhadap aktiviti pencerobohan nelayan asing dan nelayan tempatan yang menggunakan pukat tunda, sumber perikanan negara akan mengalami kepupusan pada masa akan datang. Oleh itu, kita minta pihak berkenaan menyiasat perkara ini dan mengumumkan hasil siasatan tersebut kepada rakyat," katanya.