Bazar Ramadan, Aidilfitri di Pahang dikawal ketat

Abd Rahim
Abd Rahim
A
A
A

KUANTAN - Pihak berkuasa akan memantau secara ketat 59 lokasi penganjuran bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh Pahang bagi memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh semua pihak.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Abd Rahim Muda berkata, tindakan ini bagi mengelak berlakunya kes jangkitan Covid-19.

"Kita bimbang kalau tidak patuh SOP, kes akan meningkat dan kita semua tidak boleh raya.

"Jadi, sebab itu pihak berkuasa diminta untuk menjalankan pemantauan secara ketat dan yang paling utama adalah pemeriksaan kesihatan di pintu masuk bazar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Pada petang Selasa, Abd Rahim bersama Datuk Bandar, Datuk Hamdan Hussin, Setiausaha Bahagian (Bahagian Kerajaan Tempatan), Ismayati Ismai dan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Datuk Wan Solihi Wan Hassan telah melakukan lawatan pematuhan SOP di bazar Ramadan di Tapak Bazar Stadium.

Pihak penganjur bazar menyediakan pas masuk dengan nombor kepada setiap pengunjung.
Pihak penganjur bazar menyediakan pas masuk dengan nombor kepada setiap pengunjung.

Mengulas mengenai perkara itu, Abd Rahim berkata, setakat ini pematuhan SOP di tahap memuaskan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pihak penganjur supaya memastikan orang ramai mematuhi penjarakan fizikal selain mengawal jumlah kehadiran di setiap bazar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penganjuran bazar di negeri ini tertakluk kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan jika pematuhan SOP tidak diikuti tindakan penutupan boleh dilakukan.

“Kalau ada pelanggaran dari segi SOP dan pihak MKN tidak berpuas hati dengan pematuhan SOP di bazar, maka keputusan menutup operasi bazar akan dikeluarkan oleh pihak MKN,” katanya.

Di Kuantan, sebanyak 30 tapak penjualan membabitkan 26 bazar Ramadan, manakala empat bazar Aidilfitri dengan jumlah keseluruhan seramai 1,008 peniaga.