'Saya maafkan juruwang itu'

Ibu kepada dua cahaya mata memuat naik pengalamannya yang hampir ditipu ketika membeli-belah di salah sebuah kedai di Jasin beberapa hari lalu.
Ibu kepada dua cahaya mata memuat naik pengalamannya yang hampir ditipu ketika membeli-belah di salah sebuah kedai di Jasin beberapa hari lalu.
A
A
A

MELAKA - Seorang wanita yang mendakwa nyaris ditipu oleh seorang juruwang di sebuah kedai serbaneka di Jasin mengakui sudah memaafkan pekerja terbabit.

Menurutnya, pihak pengurusan kedai itu juga sudah menghubunginya dan meminta maaf mengenai kejadian itu.

Beberapa hari lalu, Siti Raffedah Abd Malek, 33, yang sarat mengandung membuat perkongsian di media sosial, Facebook sehingga tular dan dikongsi lebih 100 individu mengenai pengalamannya yang didakwa hampir tertipu dengan seorang juruwang.

Siti Raffedah berkata, dia sering berbelanja di kedai berkenaan kerana harga barang yang murah, namun tidak menyangka berdepan situasi berkenan memandangkan ketika itu dia membeli beberapa barang keperluan harian dalam keadaan tergesa-gesa.

Menurutnya, juruwang wanita yang berusia dalam lingkungan 30-an itu membuat tawaran untuk memberikan plastik percuma sekiranya dia tidak mahukan resit sebelum dia bersetuju dan pekerja itu membuat pengiraan menggunakan kalkulator.

"Namun selepas itu, saya terkejut apabila dia beritahu jumlah yang perlu dibayar sebanyak RM44.20 sedangkan barang yang saya beli tidak banyak.

"Ketika itu, saya cuba bersangka baik dan kebetulan saya tiada wang tunai mencukupi untuk membuat bayaran lalu mengeluarkan kad debit sebelum pekerja itu menjawab kenapa tidak dimaklumkan awal mahu menggunakan kad kerana terpaksa scan (imbas) barang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Bagaimanapun menurutnya, setelah semua barangnya diimbas kod, dia mendapati jumlah yang perlu dibayar hanyalah RM29.40, jauh berbeza dengan jumlah dikatakan juruwang terbabit yang sebelumnya membuat kiraan harga menggunakan kalkulator.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pendedahannya mengenai perkara hanya sekadar berkongsi pengalaman dan bukan untuk mengaibkan sesiapa, dalam masa sama berharap agar orang ramai terutama warga emas tidak menjadi mangsa tipu.

"Niat saya untuk sama-sama beringat dan berhati-hati, saya juga berharap pekerja wanita itu tidak diberhentikan dan diberikan peluang kedua," katanya yang juga merupakan kakitangan kerajaan.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Norena Jaafar berkata, siasatan telah dijalankan di premis berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati tanda harga dipamerkan dengan jelas dan barang jualan akan diimbas melalui kod bar serta setiap transaksi pembelian akan diberikan resit kepada pelanggan.

"Saya juga dimaklumkan pihak pengurusan atasan telah mengambil serius perkara ini dan sedang menjalankan siasatan dalaman untuk mengambil tindakan terhadap pelaku yang telah dikenal pasti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Kita juga berharap pengguna sentiasa beringat dan membuat aduan terus kepada pihak kami sekiranya berdepan dengan situasi ini di mana tidak diberikan resit," katanya.