MBSA tawar diskaun kompaun 50 peratus sepanjang Ramadan

Shahrin Ahmad
Shahrin Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan Kempen Pengurangan Kompaun sebanyak 50 peratus sepanjang bulan Ramadan ini bermula Selasa sehingga 12 Mei depan.

Pelaksanaan kempen berkenaan bagi memberi peluang kepada Orang Kena Kompaun (OKK) untuk melunaskan tunggakan kompaun mereka.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, melalui kempen itu, pengurangan kompaun Tempat Letak Kereta (Perintah Pengangkutan Jalan MBSA) juga akan diberikan dengan potongan sehingga RM30 daripada jumlah asal di semua kaunter pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

"Kempen ini juga memberi peluang kepada OKK menyelesaikan bayaran tunggakan kompaun berkenaan sebelum tindakan lebih tegas dikenakan ke atas mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Antara jenis-jenis kompaun yang layak menerima pengurangan sehingga 50 peratus itu ialah melibatkan kesalahan di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Kedai Gunting Rambut 1983, UUK Taman (MBSA) 2005, UUK Vandalisme (MBSA) 2005, UUK Establisyemen Makanan (MBSA)

2007 dan UUK Pengendali Makanan (MBSA) 2007.

Turut layak menerima pengurangan ialah UUK Iklan (MBSA) 2007, UUK Penjaja (MBSA) 2007, Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007 dan UUK Pasar (MBSA) 2007.

Sementara itu, Shahrin berkata, MBSA turut menyediakan perkhidmatan pejabat bergerak 'Shah Alam On Wheel' (SAOW) yang akan beroperasi setiap Sabtu di pasar raya terpilih di kawasan pentadbiran PBT terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai juga boleh membuat pembayaran kompaun di kaunter utama Wisma MBSA, Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Pejabat Cawangan Kota Kemuning dan Pejabat Cawangan Setia Alam," kata beliau.

-end-