'Penjawat awam dapat gaji cukup makan mungkin tidak mampu'

Tajuddin (kiri) ketika hadir pada Majlis Menandatangani Perjanjian di antara Taj International College (TIC) bersama lapan agensi di Dewan Bankuet TT, TIC di Ipoh pada Rabu.
Tajuddin (kiri) ketika hadir pada Majlis Menandatangani Perjanjian di antara Taj International College (TIC) bersama lapan agensi di Dewan Bankuet TT, TIC di Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Inisiatif kerajaan menggalakkan penjawat awam berwakaf melalui potongan gaji boleh diperluaskan ke syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, usaha yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu merupakan cadangan yang baik.

Bagaimanapun katanya, cadangan tersebut perlu diperhalusi dan dibincangkan dengan pihak berkaitan kerana penjawat awam mempunyai pelbagai kategori.

"Ada (kakitangan awam) yang ok, ada yang agak tak begitu ok dari segi gaji. Mana yang gaji lebih bolehlah, yang cukup-cukup makan itu mungkin tidak mampu. Ikut kemampuan setiap pegawai penjawat awam. Tapi dari segi konsep baguslah.

"(Pelaksanaannya) semua sekalilah. GLC pun kerajaan juga, milik kerajaan. Elaun saya bolehlah bagi sikit," katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian Program Belajar Secara Digital di antara Taj International College (TIC) bersama lapan agensi di Dewan Bankuet TT, TIC di sini pada Rabu.

Hadir sama pada majlis itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ketua Pegawai Eksekutif TIC, Tina Tajuddin.

Pada 13 April, Muhyiddin mengumumkan bahawa satu inisiatif perlu dirangka bagi meningkatkan tabungan dana dan aset wakaf negara untuk menggalakkan penjawat awam berwakaf khususnya secara berkala melalui potongan gaji.

ARTIKEL BERKAITAN: Penjawat awam digalak berwakaf melalui potongan gaji

Artikel Berkaitan:

Cuepacs seru 1.6 juta penjawat awam berwakaf melalui potongan gaji