Pegawai Baitulmal didakwa minta rasuah, salah guna wang MAINS

Tertuduh diiring pegawai SPRM di mahkamah
Tertuduh diiring pegawai SPRM di mahkamah
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pegawai Baitulmal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan cuba meminta rasuah berhubung kerja pembekalan cenderahati bagi Program Bantuan Hari Raya dan menyalahgunakan wang Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) pada empat tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Hasbollah Ahmad, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan utama dan pilihan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut kertas pertuduhan utama, tertuduh telah menggunakan jawatannya sebagai Pegawai Baitulmal di daerah Kuala Pilah untuk mendapatkan suapan iaitu dengan mengesahkan permohonan sebuah syarikat untuk melaksanakan kerja pembekalan cenderahati bagi Program Bantuan Hari Raya yang diberikan kepada asnaf fakir miskin di sekitar daerah Kuala Pilah.

Perbuatan itu dilakukan pada 5 Jun 2017 di Pejabat Baitulmal Daerah Kuala Pilah.

Berikutan itu, tertuduh didakwa telah mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan iaitu menyalahgunakan wang berjumlah RM4,178 kepunyaan MAINS.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang dari enam bulan dan maksimum lima tahun dan dengan sebat serta boleh juga didenda.

Artikel Berkaitan:

Madihah menetapkan wang jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan tertuduh juga perlu melapor diri pada minggu pertama setiap bulan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berhampiran.

Sebutan semula kes pada 24 Mei depan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.