PSG bukan calon pilihan juara

Pemain PSG meraikan kejayaan mara ke perlawanan separuh akhir Liga Juara-juara.
Pemain PSG meraikan kejayaan mara ke perlawanan separuh akhir Liga Juara-juara.
A
A
A

PENGENDALI Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino menegaskan pasukannya bukanlah calon pilihan untuk menjuarai saingan Liga Juara-juara walaupun telah menyingkirkan penyandang juara, Bayern Munich di peringkat suku akhir pada awal pagi Rabu.

PSG mara ke peringkat separuh akhir dengan agregat 3-3 yang menyaksikan peraturan gol di tempat lawan memberikan kelebihan kepada gergasi Perancis itu walaupun tewas 1-0 di Paris.

"Saya tidak rasa kami adalah calon juara. Kami berjaya menewaskan Barcelona dalam peringkat 16 pasukan terbaik dan kami turut menewaskan Bayern dalam perlawanan timbal balik.

"Saya fikir kami layak untuk menang, tetapi saya tidak rasa kami calon pilihan untuk menjuarai saingan Liga Juara-juara. Masih ada pencabar lain selain kami dengan Chelsea juga sudah mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.

"Sama ada Manchester City, Borrusia Dortmund, Liverpool dan Real Madrid, kesemua pasukan itu adalah pasukan kuat yang mampu untuk menjadi juara musim ini," katanya.

Kemenangan itu juga sekali gus menebus kekecewaan PSG selepas ditewaskan Bayern 1-0 dalam aksi Liga Juara-juara musim lalu.

PSG telah berjaya mara ke peringkat separuh akhir buat kali kedua berturut-turut yang menjadi pencapaian terbaik pasukan itu sejak 11 musim yang lalu.

Dalam masa sama, Pochettino tidak memilih siapa lawan di peringkat separuh akhir dengan menegaskan pasukan itu akan melakukan yang terbaik untuk cuba mara ke perlawanan akhir.

Artikel Berkaitan:

"Kami telah menentang Barcelona di peringkat 16 pasukan terbaik, bermain dua perlawanandan menyingkirkan mereka. Kami juga menewaskan Bayern di peringkat suku akhir.

"Kami tidak memilih siapa lawan kami. Apabila bermain kami akan berikan yang terbaik untuk menewaskan lawan. Jika anda fikir sama ada kami mampu menewaskan mereka atau tidak, tunggu dan lihat sahaja," katanya.